Mutiara Hidup Pejuang

Saturday, November 15, 2008

Bersediakah Kita Menghadapi Ujian Allah???





Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah s.w.t ini pasti tidak akan terlepas daripada menghadapai pelbagai mehnah dan tribulasi yang mendatang. Ingatlah sahabat-sahabat, mehnah dan tribulasi yang kita hadapi tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T, tuhan pencipta alam ini. Namun semua ini bukan penghalang untuk kita kelihatan senyum dan ceria. Sebaliknya,dengan senyuman dan kecerian itu, kita akan mampu untuk menghadapi ujian hidup. Dengan berbekalkan kunci kesabaran dan ketenangan juga, kita pasti akan dapat melayari samudera kehidupan ini dengan jayanya disamping mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..
Allah menguji setiap manusia dengan ujian yang pelbagai jenis. Akan tetapi, Dia tidak pernah membebani kita, sebagai hamba-Nya dengan melebihi kadar kemampuan kita. Ini adalah janji Allah sebagaimana yang termaktub dalam Kalam-Nya yang mulia :-

"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, Kami tidak memikulkan kewajipan kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya." (QS. Al A'raaf, 7: 42)

Ujian adalah satu peringatan buat manusia

Rasulullah pernah menjelaskan kepada kita berkenaan ujian-ujian yang dihadapi oleh manusia khususnya umat islam iaitu :
1- Berlaku bermacam-macam fitnah terhadap agama (dilakukan sendiri oleh umat Islam),
2- Berlaku gempa bumi, rebut taufan, banjir kilat, tanah runtuh,
3- Kematian di mana-mana (sama ada kematian disebabkan kemalangan, bunuh diri, membunuh orang lain bagi menutup rasa malu dan lain-lain), umat ditimpa pelbagai bentuk bala daripada Allah.

Berdasarkan keterangan hadis Nabi Muhammad di atas, kita sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana dikategorikan dalam golongan umat Nabi Muhammad yang banyak kelebihannya, kerana baginda sahajalah yang mampu memberi syafaat di akhirat jika dibandingkan dengan para Anbiya yang lain.
Namun apa yang patut kita sama-sama fikirkan ialah persoalan hidup kita semasa di dunia ini, pernahkah kita terfikir, bagaimana Nabi Muhammad mengkhabarkan mengenai raptai ujian atau siksaan di dunia ini atas kesilapan yang kita sendiri lakukan.
Atas kealpaan manusia bernama Islam, yang melakukan banyak tindakan yang menyalahi agama, hingga ia dianggap fitnah terhadap Islam itu sendiri, sebagai contoh, berapa ramai di kalangan wanita Islam yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggapnya dosa kecil, ada yang berjudi, minum arak, merogol keturunan sendiri, meragut, membunuh dan bermacam-macam jenayah lagi, kesemua itu adalah fitnah kepada Islam.

Justeru, apabila umat Islam sendiri terlibat dengan fenomena fitnah, maka tidak mustahil Allah SWT menimpakan pelbagai bentuk malapetaka dan bala yang tidak terduga oleh akal manusia, kalau di zaman nabi-nabi yang terdahulu, Allah timpakan bala seperti belalang, kutu, katak, darah yang menggerunkan pada ketika itu, tetapi pada hari ini Allah hukumkan dengan mendatangkan penyakit seperti selsema burung, penyakit kuku, tangan, kaki dan mulut, Aids dan macam-macam lagi yang menyebabkan manusia takut dan pasrah terhadap hukuman-Nya.

Antara bala yang ditimpakan Allah ke atas umat Islam kini ialah kematian, sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan, laporan akhbar setiap hari menyebut mengenai kes-kes kematian, ini menandakan bahawa Allah sedang merancang sesuatu untuk menghukum kita yang alpa dengan habuan dunia yang menjauhkan diri kepada-Nya.
Sebenarnya ujian yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengingatkan kita kepada kejadian asal penciptaan, iaitu untuk beribadat kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya, maka kita sedang melakukan perkara yang soleh, tetapi sebaliknya apabila kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada Allah.(Sebahagiannya dipetik daripada Harakah Daily; 13 Nov 08)

0 comments:


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009