Mutiara Hidup Pejuang

Tuesday, December 2, 2008

Erti Sebuah Pengorbanan





Salam Eiduladha buat sahabat-sahabat pengunjung blog ana. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Eiduladha atau nama yang lainnya ialah Hari Raya Korban @ Hari Raya Haji. InsyaAllah ana akan pulang ke kampung 3/12/2008 nanti. Rindu rasanya kat kampung, hampir 2 bulan ana tak balik. Rindu kat abah, ma dan seluruh ahli keluarga. InsyaAllah anakanda akan pulang nanti.

Berbalik pula dengan Hari Raya Korban, ia diraikan adalah antaranya untuk mengingatkan kita kepada kemuncak ibadat yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim iaitu bersedia berkorban apa saja untuk mendapatkan keredaan Allah.

Berkorban mengandungi makna mencintai, mentaati, mengabdi, menyerahkan dan reda. Hanya hamba Allah yang bermujahadah dapat melakukan ibadat korban ini. Falsafah korban bukan sekadar membeli kambing atau lembu untuk dipotong dan diagihkan kepada fakir miskin. Ibadat korban juga mengajak kita memperbaharui cinta kepada Allah, rasul-Nya, diri sendiri, ibu bapa, isteri, suami, anak-anak dan yang terakhir umat manusia seluruhnya.

Tujuh pengorbanan hendaklah dilakukan setiap hari dan bukan hanya setahun sekali. Tetapi, eloklah sempena Hari Raya Korban ini kita memberi ingatan kepada kepada kecintaan yang berkait rapat dengan peribadi kita sebagai orang beriman. Ia agar iman kita teruji dengan cabaran korban ini.

Berkorban untuk Allah.

Inilah seagung-agungnya ibadat di atas bumi. Apa saja yang Allah suka adalah amalan kita dan apa yang dibencinya adalah pantang larang bagi kita. Insan beriman hidup untuk kepentingan Allah. Dia memastikan setiap qada dan qadar Allah menjadi pilihan hidupnya, yang nikmat disyukuri dan musibah diterima dengan sabar. Tidak terlewat sedetik pun dalam hidupnya kecuali untuk beribadat kepada Allah. Makannya adalah ibadat, bekerja adalah ibadat, belajar, berhibur dan berinteraksi dengan manusia adalah ibadat baginya. Allah tidak pernah terlepas daripada ingatannya, ayunan langkahnya, gerak geri dan tindakannya, penglihatan dan pendengarannya. Semata-mata hidupnya untuk dan demi Allah. "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah Rabb sekalian alam."

Berkorban untuk Rasulullah.

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW dibuktikan dengan menghidupkan sunnahnya, memperjuangkan agamanya dan hidup dalam kenangan peribadinya yang harum. Apa saja yang kita kerjakan hendaklah dipastikan adakah Rasulullah membenarkannya dan pernah mengamalkannya. Firman Allah bermaksud: “Apa saja yang dibawa oleh Rasul itu terimalah, apa-apa yang kamu ditegah melakukannya maka berhentilah!” (Surah al-Hasyr, ayat 7)

Berkorban untuk diri sendiri.

Orang yang paling berjaya adalah mereka yang banyak mengasihani diri sendiri. Lihatlah diri kita sebagai orang lain yang dengan mudah kita menemukan aibnya. Apakah yang mesti diperbaiki dan harus dipertingkatkan? Biasanya manusia lebih arif menilai kawannya berbanding dirinya sendiri. Sesungguhnya pengorbanan untuk diri sendiri adalah segala usaha yang kita lakukan untuk memperbaiki, mempertingkatkan keimanan dan kejayaan dunia dan akhirat kita. Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah, dalam segala hal adalah kebaikan baginya. Bersemangatlah mengerjakan sesuatu yang bermanfaat bagi dirimu serta mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah!” (Hadis riwayat Muslim)

Berkorban untuk ibu bapa.

Siapalah kita tanpa ibu bapa. Apa yang kita miliki sekarang berpunca dari mereka. Tiada mereka, maka tiadalah kita. Kita hairan masih ada yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka. Alasan demi alasan disusun untuk mengelak daripada tanggungjawab kepada ibu bapa. Tetapi, adakah mereka berfikir pernahkah ibu bapa membiarkan mereka tanpa kasih sayang, penjagaan dan bantuan? Daripada 'Amru bin al-'Ash bahawa Nabi bersabda: “Dosa-dosa besar itu adalah menyekutukan Allah, menderhaka kepada orang tua, membunuh orang dan sumpah palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berkorban untuk pasangan hidup.

Kasih sayang antara suami dan isteri hendaklah sentiasa disemai dalam hati masing-masing. Kekurangan yang ada pada pasangan kita jangan menjadi sebab pertelingkahan, malah seharusnya kekurangan itu menjadi agenda bersama untuk diperbaiki. Masing-masing berperanan mempengaruhi pasangannya untuk merubah diri ke arah yang lebih baik.Biarlah kasih sayang itu berpanjangan sampai ke akhirat. Sikap mengalah, sabar dan saling menghormati hendaklah menjadi amalan. Ujian dan cubaan dalam perhubungan suami isteri adalah hal biasa yang mesti dihadapi dengan sikap matang dan bertanggungjawab. Pasangan kita adalah belahan jiwa, cermin diri dan sumber kekuatan kita untuk terus berjuang dalam kehidupan ini.

Berkorban untuk anak-anak.

Anak adalah harta yang tidak ternilai harganya. Daripada merekalah kita mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah. Pengorbanan kita mendidik dan mengajar seharusnya menjadi amalan wajib yang tak pernah ada akhirnya. Proses ini berterusan sehingga menghantarkan mereka pada kejayaan masuk ke syurga Allah. Kalau hanya setakat dapat gelaran dan kejayaan duniawi, belumlah dapat dikatakan kita berjaya mendidik mereka. Tetapi, pastikan kejayaan dan kecemerlangan itu sampai ke akhirat. Jadi jangan cepat berbangga dulu, sebelum kita pastikan mereka layak mendapat keredaan Allah. Berkorbanlah untuk kerja mendidik dan mengajar anak manusia yang memerlukan kekuatan fikiran, perasaan dan ketahanan tubuh badan. Setiap hari pasti dipenuhi dengan pelbagai kegiatan pengukuhan insan pada diri anak kita jika anda ibu bapa yang bertanggungjawab.

Berkorban untuk umat manusia.

Hidup menjadi tidak bermakna tanpa kesejahteraan dan keamanan. Begitu juga kerukunan dan persahabatan adalah nikmat hidup yang mesti dimiliki bersama. Tidak ada permusuhan dan persengketaan dalam perhubungan sesama insan. Sikap toleransi sesama manusia walaupun berbeza fahaman hendaklah menjadi simbol perpaduan. Setiap hari pengorbanan mesti dilakukan untuk memastikan Islam menjadi rahmatan lil 'Alamin, rahmat untuk alam seluruhnya! Dan anda menjadi mutiara yang berkilauan walaupun berada di tengah-tengahlautan yang bergelora.


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009