Mutiara Hidup Pejuang

Wednesday, February 25, 2009

Fahaman hedonistik - Adakah Remaja Tahu Batasan & Tujuan??




FAHAMAN hedonistik ialah fahaman atau amalan atau sikap hidup yang didasarkan kepada nafsu-nafsi. Atas dorongan nafsu-nafsi remaja terdorong untuk berseronok-seronok kerana itulah makna dan pengertian hidup yang ada padanya.

Umumnya amalan hedonistik ini didasarkan kepada kehidupan orang Barat yang memiliki kuasa beli atau wang yang tinggi dan daripadanya membolehkan mereka melakukan cara gaya hidup berseronok-seronok dengan corak pakaian, jalan hiburan, jalan ketagihan, malah jalan seks yang akhirnya menimbulkan kerosakan kepada diri dan peribadi.

Keseronokan ini hanya untuk kepuasan diri atas dorongan nafsu kerana memang jiwa remaja segar dengan rangsangan nafsu. Pertimbangan baik-buruk bukanlah suatu syarat bagi dirinya. Yang penting hidup remaja hanya sekali. Tempoh ini mesti digunakan untuk berhibur, berkawan, jangan gundah-gulana.Jangan fikirkan tentang hari esok. Jangan fikirkan sangat tentang hari dewasa. Hidup datang dan pergi. Hidup mesti gembira! Buat apa fikir tentang perjuangan. Apa perlunya nilai dan agama. Dosa pahala bukan isu. Syurga neraka bukan isu. Yang penting berseronok-seronok.Seronok bermakna rasa terhibur, keinginan dipenuhi dan naluri diri diraikan. Isu yang berbangkit ialah fahaman seronok-seronok tanpa tujuan. Atau seronok-seronok atas dorongan hawa nafsu semata-mata. Islam tidak menentang remaja mendengar muzik dan lagu.

Islam tidak menghalang remaja aktif dalam sukan. Islam tidak menyekat remaja bergaul secara sihat dan tertib. Islam tidak menentang seni yang makruf. Islam menggalakkan kegiatan kebudayaan yang benar-benar memberi makna kepada diri dan kehidupan. Islam mengharuskan fesyen dalam berpakaian asal saja ia menutup aurat bukan mendedahkan tubuh badan sesuka hati. Pedoman yang Islam beri ialah remaja kena tahu batasan dan tujuan. Batasan pergaulan kena ikut keperluan syarak. Kalau tidak nafsu-nafsi akan mengambil tempat.

Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk kena diambil kira. Kalau tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala. Sekiranya faham ini ada pada remaja, ia bakal mempedomankan remaja tentang maksud hiburan dan keseronokan. Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik.Islam tidak mengambil sikap yang sempit terhadap lagu dan muzik. Prinsip yang Islam berikan ialah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah. Maksudnya, lagu dan muzik itu sifatnya menghiburkan.

Keinsafan

Hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi. Iringan muziknya memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kita ke arah keindahan rasa yang sebenar.Keindahan rasa yang sebenar bukan menjauhkan kita dengan Allah dan merobohkan batas diri atau kawalan diri terhadap perkara yang makruf. Kita rasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.

Seperti yang selalu disebutkan di sini, punca kepada berbangkitnya perkara ini ialah remaja, sejak zaman kanak-kanaknya lagi tidak dibesarkan dalam pendidikan dan penghayatan agama yang berkesan. Kadang-kadang pada zaman kanak-kanak atau awal remajanya, ia diajar tentang fardu ain dan al-Quran. Sayangnya ia tidak membawa kesan penghayatan dan pembinaan akhlak.

Kedua, remaja amat terdedah dengan corak hiburan terutamanya dari Barat seperti muzik dan lagu, filem-filem dan sekarang ini internet tanpa adanya kawalan dan menyebabkan nafsu-nafsi remaja terangsang. Apalagi setengahnya mula menonton filem-filem lucah dan ganas, menghisap rokok, pergaulan yang lepas bebas dan akhirnya terlibat dengan amalan dadah semata-mata untuk mencuba dan akhirnya timbul keseronokan, ketagihan dan ingin mengulangi lagi. Yang dahsyatnya ialah apabila sekali remaja terjebak dalam perangkap seronok-seronok sebegini, akhirnya ia akan terperangkap dan hilang pedoman untuk mencari jalan keluar.Bayangkan remaja seperti ini telah menghabiskan zaman remajanya dengan sia-sia, malah merosakkan dirinya dan akhirnya ia tidak menjadi aset atau harta untuk keluarga, masyarakat dan negara dan ia akan menjadi beban kepada pihak lain pula.

Seperti yang disebutkan awal tadi, Islam tidak menentang remaja berseronok dan berhibur. Inginkan keseronokan dan hiburan adalah suatu fitrah. Naluri manusia sangat suka kepada hal-hal yang menyeronokkan dan menghiburkan. Tetapi Islam memberikan kita batasan dan pedoman. Tanpa batasan dan pedoman kita akan kehilangan arah dan cenderung sesat jalan.Yang dipandu dan dipedomankan oleh agama kita ialah berseronok dan berhibur yang menibulkan keinsafan dan perasaan diri yang dekat dengan Allah, sukakan kebaikan, bencikan kemungkaran, merasa ada peranan dan tanggungjawab dalam hidup, dan tidak terlepas daripada kawalan diri yang sifatnya nafsu-nafsi dan akhirnya ada rasa kepuasaan yang amat tinggi bahawa keseronokan dan hiburan dihayati kerana Allah dan berhikmah untuk diri dan kehidupan.

Menikmati

Maksudnya ialah waktu berhibur kita merasakan diri kita sebagai hamba menikmati kurnia Allah yang maha indah melalui bait-bait atau senikata yang diungkapkan, alunan muzik yang tidak merangsang kealpaan dan boleh menyebabkan kita lalai dan hilang pertimbangan serta sentiasa menikmati suatu kepuasan tentang kebesaran Allah yang menjadikan alam dan kehidupan manusia penuh dengan rahmat dan nikmat.

Sekiranya hal seperti ini ada pada remaja dan pada kita semua, jenis keseronokan yang kita cari dan hiburan yang kita dapati sentiasa memandu kita hampir dengan Allah, merasa rindu kepada Allah, selalu sayangkan diri dan potensi yang Allah telah kurniakan dan membangunkan potensi itu dengan baik supaya kebaikan itu menjadi fahaman kita, bukannya hedonistik atau berseronok-seronok yang menyebabkan kita lalai dan alpa, lupa diri dan lupa segalanya sehingga akhirnya remaja boleh terjerumus ke lembah maksiat dan kerosakan yang sukar untuk dipulihkan semula.

Oleh itu bakat untuk berseronok harus digunakan secara fitrah. Maksud fitrah di sini ialah menggunakan pada tempatnya yang sesuai, ikut pedoman syarak dan jangan melampaui batas. Kalaulah keseronokan itu adalah kerana kelazatan, kelazatan adalah sementara dan ia tidak bersifat lama.Sekiranya kelazatan dirasai dalam bentuk syarak ia menjadi ibadah. Sekiranya kelazatan berlaku di luar batas syarak ia menjadi dosa dan mendatangkan musibah. Kelazatan boleh menimbulkan ketagihan. Mengambil rokok dan dadah umpamanya ada kelazatan sementara. Orang merasa khayal dan gian. Khayal dan gian menyebabkan orang lupa. Lupa boleh menyebabkan orang melakukan apa saja.

Kuda Liar

Remaja juga mempunyai lonjakan nafsu yang tinggi. Nafsu remaja ibarat kuda liar. Kuda liar, apabila ditunggangi, ia gopoh dan boleh menunggangi manusia semula. Kuda liar perlukan tali kekang untuk dijinakkan. Dengan tali kekang ia melatih kuda liar supaya patuh dan ikut pedoman penunggang. Lama kelamaan apabila latihan itu berterusan, nafsu semakin jinak dan akhirnya remaja bakal memandu nafsu dalam melakukan sesuatu tetapi bukan dipacu oleh nafsu dalam menghajatkan sesuatu.

Tali kekang kepada kuda liar itu ialah latihan rohaniah. Apabila remaja dekat kepada Allah, remaja mempunyai pancang dalam diri. Pancang diri ini penting supaya remaja tidak hilang pedoman. Dalam bersuka-suka, remaja ingat kepada Allah, patuh kepada batasan syarak. Dalam berhibur, remaja ingat halal dan haram sesuatu, ia menjadikan remaja berhibur kerana kebaikan.

Dalam bersukan remaja patuh batasan aurat, batas gaul dan batas waktu. Dalam menonton, remaja menonton hal-hal yang bermanfaat yang boleh mengiburkan. Dalam melancong, remaja menikmati dan menghargai keindahan alam dan kejadian bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam membaca remaja membaca bahan-bahan yang meningkatkan mutu berfikir, mendatangkan idea-idea baru dan akhirnya menambahkan ilmu dan pengetahuan.

Sekiranya asas ini dapat disuburkan dalam diri remaja, hiburan tidak sampai kepada darjah berpoya-poya tetapi hiburan atau kesukaan membawa faedah kepada remaja supaya dewasanya remaja melalui proses-proses matang dan berkualiti dan kekuatan ini bakal menyumbang kepada diri remaja dan juga kepada masyarakat dan negara nantinya.

Renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabat yang budiman..

- PROF DR. SIDEK BABA, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

0 comments:


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009