Mutiara Hidup Pejuang

Sunday, February 22, 2009

Sudut Motivasi : Berfikir Reflektif




InsyaAllah sedikit cetusan motivasi yang dapat kalam kongsikan pada hari ini. Berfikir secara reflektif?apa kebenda tu?...Berfikir reflektif diibaratkan seperti melihat cermin dan dari situ terlihat banyak benda untuk dijadikan pedoman dan garis panduan. Contohnya ketika memandu kereta, apabila kita ingin berjalan ke hadapan harus melihat cermun sisi dan belakang supaya ia mendapat pedoman untuk bergerak ke hadapan.Berfikir reflektif tidak sekadar melihat apa yang ada di belakang atau di sisi tetapi ia sebagai asas pedoman untuk melihat hari ini dan masa depan.Oleh itu, Berfikir sedemikian banyak menghubungkan apa yang telah berlaku untuk dijadikan iktibar dan teladan.

Para remaja merupakan kelompok yang terbaik untuk dilatih dan diasuh berfikir ecara reflektif. Dengan potensi yang sedang subur dan bakat untuk maju adalah tinggi, remaja harus berfikir reflektif untuk berubah dan bersedia menghadapi cabaran masa depan tanpa menoleh ke belakang bagi meneliti perjalanan sejarah, jejak-jejak kemajuan dan perubahan supaya langkah hari-hari yang akan datang di pedomankan dengan pencapaian dan kegagalan pada masa yang lalu.

Asas-asas reflektif yang perlu ada pada remaja ialah mengetahui sejarah bangsa dan umat. Ia penting kerana sejarah boleh mengulangi jejak. Apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh kembali semula pada masa kini dan pada masa depan. Yang berlaku pada masa lalu lazimnya seakan-akan sama dengan apa yang berlaku pada masa kini dan pada masa depan. Bezanya ialah cara sesuatu itu berlaku dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Contohnya, ilmu pengetahuan dan pendidikan berlaku sejak awalkejadian manusia. Nabi Adam mempelajari sesuatu daripada Alah untuk mengetahui sesuatu di sekelilingnya. DariNya Nabi Adam dan Hawa mendapat pedoman bagaimana untuk hidup dan berinteraksi dengan yang lain. Nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu juga membawa risalah kebenaran tentang Allah kepada kaum dan umatnya. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Begitu juga pada hari ini Nabi Muhammad sudah lama meninggalkan kita, namun ajarannya tetap terus disampaikan kepada manusia. Ada yang menerima dan ada yang menolak.

Nabi Muhammad s.a.w pada zamannya membina asas tamadun. Madinah dijadikan asas model bagaimana seharusnya Islam tegak dan beroperasi. Model itu dikembangkan oleh para sahabat, tabien dan solaf al soleh sehingga tercetusnya perubahan dan kemajuan. Dalam siri kebangkitan pada Zaman Umayyah, Abasyiah, Andalusia dan Othmaniyah, kita menyaksikan sejarah kebangkitan dan kemerosotan tamadun Islam. Berfikir reflektif bukan saja meneliti faktor-faktor yang memperkasa tamadun tetapi melihat juga kepada perkara yang menyebabkan tamadun itu musnah dan runtuh. Dengan cara itu, para remaja akan mengetahui sebab-musabbab berlaku sesuatu peristiwa dan mengambilnya sebagai pengajaran dan iktibar.

RENUNGAN

Menyingkap isi kandungan Al-Quran, di dalamnya tersarat pelbagai kisah tentang kehidupan dan peristiwa yang telah dilalui oleh manusia pada masa yang lampau. Jika difikirkan, tentu ada sebab mengapa kisah-kisah tersebut dipaparkan kepada manusia. Jawapannya, ialah untuk menggalakkan manusia supaya berfikir. “Berfikir itu pelita hati”. Berfikir reflektif menjadikan kisah-kisah yang dirakamkan itu menjadi Ibrah ataupun sumber renungan, pemikiran dan teladan. Apa yang dilakukan oleh manusia dewasa ini, bukanlah sesuatu yang baru atau tidak pernah ada pada masa yang lalu. Kegilaan manusia kepada kuasa, pangkat, darjat serta harta benda yang tidak kekal menyebabkan mereka lupa diri, dan melampaui batas. Ini telah berlaku pada masa lampau dan diulangi kembali pada hari ini serta bakal terjadi pada masa yang akan datang. Kebaikan ada yang lalu akan terus diulangi sekiranya pedoman kebaikan itu dirasakan di kalangan mereka yang berfikir secara reflektif.

Berfikir reflektif adalah penting untuk membangunkan bangsa dan umat. Pada bangsa Melayu terhimpun khazanah silam yang sedikit sebanyak boleh memberikan kesan reflektif terhadap jatuh bangun bangsanya sendiri. Kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah umpamanya walaupun terkandung fakta dan mitos, tetapi ia juga terselit elemen-elemen reflektif dan positif untuk renungan dan iktibar untuk generasi terkemudian. Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang, walaupun dianggap mitos tetapi ia tetap mempunyai makna dan simbol tentang bagaimana nafsu serakah raja Raja Melayu terhadap kuasa dan cita-cita. Apabila nafsu bermaharajalela, tunggulah saat kehancuran yang bakal menjelma. Apabila rakyat dijadikan hamba abdi dan nilai kemanusiaan hilang, berlakulah penjajahan terhadap bangsa dan negara.

Mitos ini boleh berlaku pada masa yang lalu, kini dan juga akan datang. Berfikir reflektif memboleh kan kita menganalisis sebab runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Menlayu mengisahkan bagaimana di kemuncak kehebatan masyarakat Melayu, terdapat lapan puluh empat dalek atau bahasa yang diucapkan di pelabuhan atau bazar-bazar di kota Melaka pada ketika itu. Ini membayangkan betapa majunya perdagangan di Melaka. Secara reflektifnya, ia menunjukkan bahawa peri pentingnya kegiatan perdagangan dan perhubungan antarabangsa yang memboleh Melaka tampak maju ketika itu.

Rasulullah s.a.w pada zaman mudanya juga suka berniaga sehingga ke Yaman dan Syria. Baginda juga menyebutkan bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki ialah dalam perniagaan. Para remaja harus berfikiran reflektif tentang bagaimana para pendakwah dulu, ramai antara mereka terdiri daripada pedagang-pedagang yang hebat. Dan bagaimana tika ini umat Islam lemah dan terpinggir kerana penglibatannya dalam dunia dagang amat kecil. Perhatikan bagaimana kuasa-kuasa Barat menguasai umat Islam dengan tersorot agenda multi-nasionalnya dan menguasai dunia dagang di negara orang-orang Islam.

Berfikir reflektif yang didorong dengan keinsafan yang mendalam tentang pra syarat untuk meju harus mendorong remaja insaf tentang diri dan hari esok. Berfikir reflektif boleh menggalakkan remaja menilai tentang baik dan buruknya sesuatu, tahu batasan boleh dan tidak boleh sert sering mengaitkan peristiwa yang lalu sebagai jalan berfikir yang terbaik.

Remaja Islam dalam proses pembangunan minda dan kesedaran diri harus mendekatkan diri dengan Al-Quran sebagai pembekal kisah-kisah manusia yang sebelum ni untuk dijadikan Ibrah. Kedua, jadikan sirah perjuangan Nabi sebagai sumber sejarah dan Sunnah Nabi sebagai sumber ikutan. Ketiga, bgaimana berfikir reflektif menjadikan kita berubah dan maju kerana apa yang berlaku pada masa yang lalu dalam banyak hal adalah sesuai dengan zamannya. Apa yang berlaku pada masa kini, walaupun pendekatannya mungkin berbeza tetapi isu yang dihadapi tetap sama. Oleh itu, berfikir reflektif membawa remaja kepada prinsip-prinsip yang Islami dan Qurani mampu diolah dengan metodologi kini tanpa menjejaskan kepentingan syarak yang menjadi pedoman utama umat Islam. Keempat, agaimana kemajuan yang ada pada umat dapat dipertahankan supaya umat Islam menjadi model yang terbaik untuk umat manusia.

Secara reflektifnya, para remaja seharusnya menginsafi bahawa tanpa asas ini, tidak mungkin umat Islam mampu memimpin dirinya apatah lagi ingin memimpin umat manusia. Sebaliknya kita akan dipimpin oleh mereka dengan cara mereka dan akhirnya umat Islam akan menjadi sebahagian daripada mereka.

0 comments:


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009