Mutiara Hidup Pejuang

Saturday, March 7, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa



Ayuh! Seiringkan langkah, rapatkan bahu,seiramakan derapan sepatu! Satukan matlamat,satukan tekad,satukan ikatan!

Bersiaplah. Jika sang unggas mampu bercericau mencari bekalan di awal pagi untuk anaknya,maka alangkah malunya hamba-hamba Allah di bumi Malaysia ini tidak mampu menghayunkan langkah seawal pagi ke tiga lokasi perhimpunan hari ini demi masa depan anak bangsa kita.

Lupakan seketika,soal parti. Lupakan siapa PAS, siapa KeADILan,siapa Umno! Lupakan dulu warna kulit kita sama ada bersawo matang ataupun berhitam manis! Lupakan juga panjang segalah atau katek merendang!

Ini bukan masa untuk mencakar siapa gagah,siapa hebat! Ini bukan ketikanya mendada siapa jaguh,siapa pendekar! Dan ini juga bukan masanya untuk menilai siapa berphD atau bersekolah pondok!

Kemarilah,wahai anak-anak bumu tercinta! Bersatulah! Hari ini adalah penentuan! Hari ini adalah detik sejarah yang akan terlakar dalam beratus tahun yang akan datang.Andai berjaya kita mengatur langkah hari ini,maka beratus tahun kelak anak bangsa kita akan tidur dalam dakapan lena di bumi Malaysia ini.Andai pincang langkah dan bercerai ikatan kita pada hari ini,maka akan hilanglah jati diri dan peribadi bangsa anak cucu kita kelak.

Hari ini juga kita akan menyaksikan,apakah masih ada jagat diri dalam setiap insan yang bergelar manusia bermaruah terhadap soal bahasa di negara ini.

Bertempat di Kompleks Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara,kita akan berhimpun dan mengusung 'keranda bahasa' yang akan terkubur jika tidak dilakukan sesuatu.

Bertempat di tiga lokasi itu juga, akan tercatat sejarah betapa anak-anak bangsa di bumi Malaysia tidak pernah berputus asa untuk mengendung bahasa ibunda tercinta.

Dan bertempat di tiga lokasi ini juga, kita akan sama-sama melaungkan betapa hari ini adalah detik yang menentukan jatuh bangun dan hidup matinya bahasa Melayu di negara ini.

Bukan hanya anak,adik,bapa,ibu,pakcik,makcik,datuk dan nenek! Tetapi akan turun dan berarak juga para akademik,pensyarah,pejuang bahasa,sasterawan negara,ahli politik,para doktor,peguam,jurutera,arkitek,pengamal media dan beribu penjawat yang wujuud di muka bumi ini.

Dan di celah-celah ribuan penjawat ini,terpacul sama abang beca,abang lori,abang teksi,abang burger,akak nasi lemak,akak tom yam,akak apam balik, akak tapai dan beribu akak dan abang di pelbagai ceruk kota negara ini.

Dan paling mengharukan dalam lipatan ribuan manusia ini, terselit si Ah Kau, Ramasamy,Muniandy,Mariammah,Amit anak Balau,Sarjeet Singh dengan turut sama memimpin sicapek,sibuta,sibisu dan pelbagai insan yang berasa terpanggil untuk membela anak-anak bangsanya.

Maka, menjelang tengahari kelak, akan berkumpullah anak-anak bangsa ini di tiga lokasi sebelum berarak untuk merafak sembah bagi membawa warkah memorandum daripada insan-insan yang tertindas dalam bahasa ibundanya kepada ke bawah Duli Tuanku Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu,ayuhlah! Usah dibuai mimpi lagi. Hayunkan langkah,genggamkan erat jari jemari,satukan langkah,pereratkan ikatan bangsa dan mulakan perjalanan ke ibu kota Kuala Lumpur.

Masih belum terlambat untuk ke Kompleks Sogo,Pasar Seni dan Masjid Negara. Maish belum terlewat untuk melaungkan suara bangsa di ibu negara ini. Dan masih belum kesiangan untuk mencelikkan mata wajah penjajah bahawa ibunda yang bakal dikerandakan.Ayuhlah,anak bangsa!

- Petikan drp laman web HarakahDaily.net..

0 comments:


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009