Mutiara Hidup Pejuang

Tuesday, July 28, 2009

Syaaban Kini, Ramadhan Menanti...




Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketikaaku berpuasa”.(HR an-Nasaie)


Pendahuluan
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

  • Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

    Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat- Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Malam Nisfu Syaaban

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)


Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:

“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Sumber:Al-Azim.com

Monday, July 27, 2009

Rahsia Solat Awal Waktu




Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.


Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Artikel daripada :-
http://www.zahazan.net/index

Monday, July 20, 2009

Tazkirah Nabi Di Hari Pengkebumian




Seorang sahabat bernama al-Barra' bin 'Azib –radhiyallahu 'anhu- menceritakan; "Suatu hari kamu keluar bersama Rasulullah –sallallahu 'alaihi wasallam- mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda berucap;

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa' dalam bahasa Arab).

Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini’. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Bau apakah yang amat harum ini?”. Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab; “Ruh si fulan bin fulan”. Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.

Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ke tujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya; “Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”. Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya.

Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’. Ia akan menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Ia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”. Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”. Ia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”. Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.

Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata: ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya. Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).

Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang busuk ini?”. Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.

Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. (Surah al-A’raf, ayat 40)

Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”. Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):
“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. (Surah al-Hajj, ayat 31)

Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka. Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya. Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Ia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya ia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.

(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630))

Thursday, July 16, 2009

Sambutan Pemansuhan PPSMI


Jemput Hadir Beramai-ramai



Sahabat-sahabat muslimin muslimat dijemput hadir beramai-ramai ke Forum Perdana Ehwal Islam di Surau Annur pada 17 Julai 2009, hari Jumaat malam Sabtu selepas Solat Maghrib..

 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009