Mutiara Hidup Pejuang

Wednesday, September 16, 2009

Salam Eidulfitri


Sunday, September 13, 2009

Kem Jati Diri Insaniah 2009




Jom sama-sama kita join Kem Jati Diri Insaniah 2009 yang dianjurkan oleh Badan Ko-Kurikulum Sekolah Kiblah. Kem yang sungguh bermanfaat dan berfaedah serta boleh menambahkan ilmu dan pengetahuan para peserta nanti.. Untuk pendaftaran boleh menghubungi Cikgu Khairul di talian 017-3969130. Jangan Lepaskan peluang ini!!! Daftar Sekarang sebelum terlambat.

Tuesday, September 8, 2009

Program Ihya' Ramadhan ISIUKM




Alhamdulillah, pada 4-6 sept yang lepas, penulis berkesempatan membawa pelajar-pelajar sekolah Kiblah, Sg Merab (Sekolah yang penulis berkhidmat sekarang) menyertai program Ihya' Ramadhan yang dianjurkan oleh Ikatan Studi Islam UKM. Syukur pada Allah, banyak juga input serta maklumat yang pelajar-palajar peroleh..Sekurang-kurangnya kita dapat menambahkan ilmu dan meningkatkan amal ibadat khususnya di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barakah ini..

Ucapan tahniah dan syukran jazilan kepada sahabat-sahabat ISIUKM.

Tuesday, July 28, 2009

Syaaban Kini, Ramadhan Menanti...




Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketikaaku berpuasa”.(HR an-Nasaie)


Pendahuluan
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

  • Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

    Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat- Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Malam Nisfu Syaaban

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)


Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:

“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Sumber:Al-Azim.com

Monday, July 27, 2009

Rahsia Solat Awal Waktu




Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.


Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Artikel daripada :-
http://www.zahazan.net/index

Monday, July 20, 2009

Tazkirah Nabi Di Hari Pengkebumian




Seorang sahabat bernama al-Barra' bin 'Azib –radhiyallahu 'anhu- menceritakan; "Suatu hari kamu keluar bersama Rasulullah –sallallahu 'alaihi wasallam- mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda berucap;

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa' dalam bahasa Arab).

Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini’. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Bau apakah yang amat harum ini?”. Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab; “Ruh si fulan bin fulan”. Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.

Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ke tujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya; “Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”. Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya.

Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’. Ia akan menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Ia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”. Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”. Ia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”. Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.

Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata: ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya. Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).

Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang busuk ini?”. Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.

Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. (Surah al-A’raf, ayat 40)

Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”. Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):
“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. (Surah al-Hajj, ayat 31)

Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka. Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya. Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Ia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya ia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.

(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630))

Thursday, July 16, 2009

Sambutan Pemansuhan PPSMI


Jemput Hadir Beramai-ramai



Sahabat-sahabat muslimin muslimat dijemput hadir beramai-ramai ke Forum Perdana Ehwal Islam di Surau Annur pada 17 Julai 2009, hari Jumaat malam Sabtu selepas Solat Maghrib..

Sunday, June 14, 2009

al-Fatihah! Kembalinya Syeikh Fathi Yakan ke Rahmatullah


al-ustaz fathi yakan telah meninggalkan kita semalam. Lahir pada tahun 1933 dan kembali ke rahmatullah pd hari ini pada usia 76tahun... sungguh besar jasanya dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah. sila lihat web ikhwan jordan utk kesahihan berita tersebut. semoga beliau ditempatkan bersama para syuhada' : http://www.ikhwan-jor.com/

Siapa yang tidak kenal Dr. Fathi Yakan. Kitab karangannya yang tersohor Apa Erti Saya Menganut Islam (atau lebih popular dengan panggilan 'Maza Yakni') menjadi rujukan kebanyakan grup-grup usrah pelbagai wadah. Penulisannya yang tersusun rapi menyemai kefahaman yang jitu tentang definisi seorang penganut Islam yang benar-benar berperibadi Muslim.


Dipetik dan diterjemah dari IslamonLine.net;

Dr. Fathi Yakan ialah ulama' dan pendakwah Islam yang terkemuka. Berkelulusan Ph.D. dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam, beliau merupakan antara penggerak awal gerakan Islam sekitar tahun 1950. Beliau juga merupakan Setiausaha Agung Al-Jamaa Al-Islamia Lubnan sehingga beliau memenangi kerusi Parlimen di Lubnan. Beliau ialah aktivis utama dalam arena politik, kelihatan paling jelas semasa pilihanraya pada tahun 1996.

Wednesday, April 15, 2009

Al-Fatihah Buat Arwah Nenek Kushairi



Al-Fatihah buat arwah nenek sahabat kita, saudara Kushairi Che Ismail, pelajar Fakulti Pendidikan tahun 4 kerana telah kembali ke rahmatullah pada jam 11 malam tadi.Moga rohnya dicucuri rahmat Allah s.w.t..

Solat Hajat PIPAQ malam ni



Jom sama-sama turun..Ajak sahabat-sahabat yang lain..

Thursday, April 9, 2009

Bengkel Kecemerlangan Akademik



Jom sama-sama turun ke Bengkel Kecemerlangan Akademik petang nanti..

Tuesday, April 7, 2009

9 Mimpi Rasulullah Sebelum Isra’ Mikraj’



Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda: “Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Isra'kan……..”


1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.


2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, maka ia telah diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.


3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.


4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSYU' DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.


5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat,setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.


6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan,setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil memimpinnya ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.


7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita disekelilingnya,sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.


8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.


9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukannya,maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.


BERSABDA RASULULLAH SAW, “SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT”


Tuesday, March 24, 2009

Pesanan Luqmanul Hakim




25 Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya...

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini
bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam
ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan
karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama
TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL
kepada ALLAH.

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya
untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat
penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar
setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa
menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan
rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH,
maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat
kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat
kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu
kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya
ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu
hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang
sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai
ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar
takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari
sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang
air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang
yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak
melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih
mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang
tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa
beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat
berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,
adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang
yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang
yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak
menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal
sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat
yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan,
takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan,
pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan
menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu
kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu
kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu
diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan
sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung
memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana
manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu
belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang
orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan
para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari
mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya
bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau
tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah
bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah
banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih
mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan
sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura
pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu
dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah
engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati hatilah.

17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu
serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan
disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap
orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah
dirimu padanyasebagai orang yang tidak mengharapkan
sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang
mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku
sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat
riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada
urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia
saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk
dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih
hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan
mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta
kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam
diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau
bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah
engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah
engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan
disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada
berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak
dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan
menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang
alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya
kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan
nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah
dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur
lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar
keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya
untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia
ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau
akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta
meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau
makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah
engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam
dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Semoga pesanan ini memberi manfaat buat kita semua,

Wassalam.

Monday, March 23, 2009

Tahniah Buat Family DKI II



"Sekalung Tahniah kepada seluruh Family DKI II yang telah sama-sama bertungkus-lumus menjayakan Program pada malam tersebut.."

Jom Hadir Beramai-ramai



"Sama-samalah kita mendapat input yang berguna sebagai bekalan di dunia dan di akhirat"

Saturday, March 7, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa



Ayuh! Seiringkan langkah, rapatkan bahu,seiramakan derapan sepatu! Satukan matlamat,satukan tekad,satukan ikatan!

Bersiaplah. Jika sang unggas mampu bercericau mencari bekalan di awal pagi untuk anaknya,maka alangkah malunya hamba-hamba Allah di bumi Malaysia ini tidak mampu menghayunkan langkah seawal pagi ke tiga lokasi perhimpunan hari ini demi masa depan anak bangsa kita.

Lupakan seketika,soal parti. Lupakan siapa PAS, siapa KeADILan,siapa Umno! Lupakan dulu warna kulit kita sama ada bersawo matang ataupun berhitam manis! Lupakan juga panjang segalah atau katek merendang!

Ini bukan masa untuk mencakar siapa gagah,siapa hebat! Ini bukan ketikanya mendada siapa jaguh,siapa pendekar! Dan ini juga bukan masanya untuk menilai siapa berphD atau bersekolah pondok!

Kemarilah,wahai anak-anak bumu tercinta! Bersatulah! Hari ini adalah penentuan! Hari ini adalah detik sejarah yang akan terlakar dalam beratus tahun yang akan datang.Andai berjaya kita mengatur langkah hari ini,maka beratus tahun kelak anak bangsa kita akan tidur dalam dakapan lena di bumi Malaysia ini.Andai pincang langkah dan bercerai ikatan kita pada hari ini,maka akan hilanglah jati diri dan peribadi bangsa anak cucu kita kelak.

Hari ini juga kita akan menyaksikan,apakah masih ada jagat diri dalam setiap insan yang bergelar manusia bermaruah terhadap soal bahasa di negara ini.

Bertempat di Kompleks Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara,kita akan berhimpun dan mengusung 'keranda bahasa' yang akan terkubur jika tidak dilakukan sesuatu.

Bertempat di tiga lokasi itu juga, akan tercatat sejarah betapa anak-anak bangsa di bumi Malaysia tidak pernah berputus asa untuk mengendung bahasa ibunda tercinta.

Dan bertempat di tiga lokasi ini juga, kita akan sama-sama melaungkan betapa hari ini adalah detik yang menentukan jatuh bangun dan hidup matinya bahasa Melayu di negara ini.

Bukan hanya anak,adik,bapa,ibu,pakcik,makcik,datuk dan nenek! Tetapi akan turun dan berarak juga para akademik,pensyarah,pejuang bahasa,sasterawan negara,ahli politik,para doktor,peguam,jurutera,arkitek,pengamal media dan beribu penjawat yang wujuud di muka bumi ini.

Dan di celah-celah ribuan penjawat ini,terpacul sama abang beca,abang lori,abang teksi,abang burger,akak nasi lemak,akak tom yam,akak apam balik, akak tapai dan beribu akak dan abang di pelbagai ceruk kota negara ini.

Dan paling mengharukan dalam lipatan ribuan manusia ini, terselit si Ah Kau, Ramasamy,Muniandy,Mariammah,Amit anak Balau,Sarjeet Singh dengan turut sama memimpin sicapek,sibuta,sibisu dan pelbagai insan yang berasa terpanggil untuk membela anak-anak bangsanya.

Maka, menjelang tengahari kelak, akan berkumpullah anak-anak bangsa ini di tiga lokasi sebelum berarak untuk merafak sembah bagi membawa warkah memorandum daripada insan-insan yang tertindas dalam bahasa ibundanya kepada ke bawah Duli Tuanku Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu,ayuhlah! Usah dibuai mimpi lagi. Hayunkan langkah,genggamkan erat jari jemari,satukan langkah,pereratkan ikatan bangsa dan mulakan perjalanan ke ibu kota Kuala Lumpur.

Masih belum terlambat untuk ke Kompleks Sogo,Pasar Seni dan Masjid Negara. Maish belum terlewat untuk melaungkan suara bangsa di ibu negara ini. Dan masih belum kesiangan untuk mencelikkan mata wajah penjajah bahawa ibunda yang bakal dikerandakan.Ayuhlah,anak bangsa!

- Petikan drp laman web HarakahDaily.net..

Wednesday, March 4, 2009

Rasulullah Insan Cemerlang



Setakat manakah pencapaian seseorang insan itu untuk diiktiraf sebagai cemerlang dan apakah kriteria diguna pakai bagi mengukur tahap sesuatu kecemerlangan. Jika tahap kecemerlangan dapat diukur dengan tepat, maka perancangan strategi untuk mencapai kecemerlangan akan menjadi satu pelan tindakan yang praktikal, kukuh dan jelas.

Oleh demikian, perkara utama adalah penentuan matlamat tepat dan jelas. Sehubungan itu, Allah menggariskan dasar kepada matlamat kehidupan insan seperti firman-Nya bermaksud: “Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah al-Maidah, ayat 119)

Ayat ini menyatakan kejayaan besar ialah mendapat keredaan Allah dalam tempoh jangka masa panjang yang bersifat kekal dan abadi selamanya.

Segala perbuatan insan sewajarnya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukan untuk mencapai matlamat lain kerana semua matlamat sampingan atau jangka pendek berpunca daripada keredaan Allah terhadap makhluk-Nya.

Rasulullah Role Model Yang Terbaik

Justeru, bagi membolehkan semua insan mencapai kecemerlangan, Allah mengutus model insan cemerlang yang tiada tandingan sehingga hari kiamat, tidak lain dan tidak bukan, Nabi Muhammad.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Allah mengiktiraf Nabi Muhammad contoh ikutan terbaik bagi insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat. Uswatun dalam ayat itu bererti model, contoh ikutan untuk ditiru atau diteladani.

Berdasarkan ayat ini, keredaan Allah sesuatu menjadi harapan (yarju) bagi setiap insan yang sedar kedudukannya sebagai makhluk tidak memberikan kesan terhadap apa-apa benda atau perkara melainkan dengan izin-Nya.

Tema Insan Cemerlang Ummah Terbilang menggambarkan hasrat untuk mencapai matlamat sebagai ummah terbilang menerusi penghasilan insan cemerlang. Kewujudan insan cemerlang pada zaman Rasulullah terdiri daripada sahabat. Hal inilah diperjuangkan Rasulullah sejak dulu kini diwarisi ulama.

Kecemerlangan insan bukan diukur secara fizikal atau materialistik. Nilai yang digunakan untuk mengukur kecemerlangan insan ialah ketinggian akhlak.

Bahkan tugas utama Nabi Muhammad ialah menyempurnakan akhlak seperti dinyatakan Baginda dalam sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengukuhkan penyataan ini, Allah membuat penegasan dengan firman-Nya bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika dan adab. Setiap Muslim ditegaskan supaya menghayati nilai kerana insan cemerlang ialah yang paling baik akhlaknya.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga menegaskan tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan dengan penerapan nilai akhlak seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Kesimpulannya, matlamat agung kewujudan manusia ialah untuk mendapatkan keredaan Allah sebagai satu kurniaan nikmat abadi, mManakala ukuran pencapaian atau indeks prestasi insan dalam mencapai matlamat itu ialah tahap ketinggian akhlak seperti dipamerkan Rasulullah.

Namun, penghayatan akhlak semakin merosot di kalangan ummah sehingga gejala sosial menjadi isu sukar dibendung. Untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi, perlu kembali kepada ajaran Islam dengan menegakkan nilai Islam dalam kehidupan.

Monday, March 2, 2009

Siapa kawan yang sebenar?




Daripada Ibnu Abbas Abdullah bin 'Amri Ibni 'As mencerita kan bahawa ditanya kan kepada Rasulllah (s.a.w.) "siapa kah kawan yang baik untuk kami dekati mereka? Lalu sabda nya: Sebaik baik kawan kamu itu ialah mereka yang akan mengingatkan kamu kepada Allah ( s.w.t.) bila melihat nya dan menambah kan ilmu kamu oleh percakapan nya serta menyemarakkan semangat kamu bersedia bekalan untuk akhirat. (Tarmizi).

Huraiannya

Dalam hadis ini, Rasulullah telah mengingatkan kepada kita mengenai kawan baik yang perlu dicari dan dipilih untuk dijadikan panduan dan ikutan. Iaitu mereka yang boleh menjadi contoh dan teladan dalam semua bidang kehidupan. Tambahan pula, bila kita berkawan atau mendekatinya, dia akan memberikan kita keuntungan sama ada dalam kehidupan dunia atau akhirat.

Dalam hadis yang lain, Sabda Nabi Muhammad S.A.W : "seseorang itu di atas agama sahabatnya, maka lihatlah dengan siapa dia berkawan". sabda Nabi Muhammad S.A.W juga, "perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang jahat itu seperti penjual minyak wangi dan tukang besi, samada kamu duduk berhampiran dengannya ataupun kamu beli minyak wangi tersebut, maka kamu tetap akan dapat mencium wangiannya. manakala bagi tukang besi, samada baju kamu akan terbakar ataupun kamu akan terhidu bau yang hangit".

Kawan yang sebenar ialah kawan yang boleh menambahkan ingatan kita kepada Allah. Kawan yang sentiasa mengajak kita melakukan perkara-perkara yang baik dan disuruh oleh Allah..Serta menegur kita tika kita alpa dan leka kepada Allah.

Oleh itu, dalam memilih kawan, kita perlu berhati-hati dan jangan tersilap memilih kawan nanti akhirnya kita sendiri akan yang akan rugi dan kecewa. Oleh itu cari lah kawan yang baik serta dapat membantu kita dan memberi semangat dalam menhadapi mehnah dan tribulasi dalam hidup yang penuh cabaran ini..

Saturday, February 28, 2009

Pertandingan Khutbah



Alhamdulillah, pada hari Rabu (25 Feb 2009) Kalam sempat menyertai Pertandingan Membaca dan Menyampaikan Khutbah dalam satu Program Penghayatan Seni Budaya UKM sempena Maulidurrasul yang diadakan oleh pihak Universiti yang bertempat di Surau Al-Munir Kolej Keris Mas. Penyertaan adalah seramai 20 orang khatib yang kesemuanya hebat-hebat belaka..2 orang di antara mereka adalah junior Kalam kat sekolah dulu. Rasa segan pulak bila berentap dengan mereka berdua..Pertandingan akhirnya tamat pada jam 1.00 tengahari.

Sempat lagi bersiar-siar ambik gambar tu..Maklumlah peserta yang ke-18..)

Wednesday, February 25, 2009

Program Dimensi Kesenian Islam ISIUKM




Di kesempatan ini, Kalam Iingin menjemput sahabat-sahabat pengunjung Blog ini untuk sama-sama hadir ke Program Dimensi Kesenian Islam (DKI 2)Anjuran ISIUKM pada 21 Mac 2009 (Hari Sabtu), jam 8.00 malam bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).Harga tiket masuk adalah sebanyak RM 6 sahaja.Untuk Tempahan Tiket, sahabat-sahabat boleh menghubungi no phone berikut: Fikhry (019-3671003) & Fauzana (019-3661089)..Diharap sahabat dapat berkunjung ke sini nanti.

Fahaman hedonistik - Adakah Remaja Tahu Batasan & Tujuan??




FAHAMAN hedonistik ialah fahaman atau amalan atau sikap hidup yang didasarkan kepada nafsu-nafsi. Atas dorongan nafsu-nafsi remaja terdorong untuk berseronok-seronok kerana itulah makna dan pengertian hidup yang ada padanya.

Umumnya amalan hedonistik ini didasarkan kepada kehidupan orang Barat yang memiliki kuasa beli atau wang yang tinggi dan daripadanya membolehkan mereka melakukan cara gaya hidup berseronok-seronok dengan corak pakaian, jalan hiburan, jalan ketagihan, malah jalan seks yang akhirnya menimbulkan kerosakan kepada diri dan peribadi.

Keseronokan ini hanya untuk kepuasan diri atas dorongan nafsu kerana memang jiwa remaja segar dengan rangsangan nafsu. Pertimbangan baik-buruk bukanlah suatu syarat bagi dirinya. Yang penting hidup remaja hanya sekali. Tempoh ini mesti digunakan untuk berhibur, berkawan, jangan gundah-gulana.Jangan fikirkan tentang hari esok. Jangan fikirkan sangat tentang hari dewasa. Hidup datang dan pergi. Hidup mesti gembira! Buat apa fikir tentang perjuangan. Apa perlunya nilai dan agama. Dosa pahala bukan isu. Syurga neraka bukan isu. Yang penting berseronok-seronok.Seronok bermakna rasa terhibur, keinginan dipenuhi dan naluri diri diraikan. Isu yang berbangkit ialah fahaman seronok-seronok tanpa tujuan. Atau seronok-seronok atas dorongan hawa nafsu semata-mata. Islam tidak menentang remaja mendengar muzik dan lagu.

Islam tidak menghalang remaja aktif dalam sukan. Islam tidak menyekat remaja bergaul secara sihat dan tertib. Islam tidak menentang seni yang makruf. Islam menggalakkan kegiatan kebudayaan yang benar-benar memberi makna kepada diri dan kehidupan. Islam mengharuskan fesyen dalam berpakaian asal saja ia menutup aurat bukan mendedahkan tubuh badan sesuka hati. Pedoman yang Islam beri ialah remaja kena tahu batasan dan tujuan. Batasan pergaulan kena ikut keperluan syarak. Kalau tidak nafsu-nafsi akan mengambil tempat.

Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk kena diambil kira. Kalau tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala. Sekiranya faham ini ada pada remaja, ia bakal mempedomankan remaja tentang maksud hiburan dan keseronokan. Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik.Islam tidak mengambil sikap yang sempit terhadap lagu dan muzik. Prinsip yang Islam berikan ialah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah. Maksudnya, lagu dan muzik itu sifatnya menghiburkan.

Keinsafan

Hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi. Iringan muziknya memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kita ke arah keindahan rasa yang sebenar.Keindahan rasa yang sebenar bukan menjauhkan kita dengan Allah dan merobohkan batas diri atau kawalan diri terhadap perkara yang makruf. Kita rasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.

Seperti yang selalu disebutkan di sini, punca kepada berbangkitnya perkara ini ialah remaja, sejak zaman kanak-kanaknya lagi tidak dibesarkan dalam pendidikan dan penghayatan agama yang berkesan. Kadang-kadang pada zaman kanak-kanak atau awal remajanya, ia diajar tentang fardu ain dan al-Quran. Sayangnya ia tidak membawa kesan penghayatan dan pembinaan akhlak.

Kedua, remaja amat terdedah dengan corak hiburan terutamanya dari Barat seperti muzik dan lagu, filem-filem dan sekarang ini internet tanpa adanya kawalan dan menyebabkan nafsu-nafsi remaja terangsang. Apalagi setengahnya mula menonton filem-filem lucah dan ganas, menghisap rokok, pergaulan yang lepas bebas dan akhirnya terlibat dengan amalan dadah semata-mata untuk mencuba dan akhirnya timbul keseronokan, ketagihan dan ingin mengulangi lagi. Yang dahsyatnya ialah apabila sekali remaja terjebak dalam perangkap seronok-seronok sebegini, akhirnya ia akan terperangkap dan hilang pedoman untuk mencari jalan keluar.Bayangkan remaja seperti ini telah menghabiskan zaman remajanya dengan sia-sia, malah merosakkan dirinya dan akhirnya ia tidak menjadi aset atau harta untuk keluarga, masyarakat dan negara dan ia akan menjadi beban kepada pihak lain pula.

Seperti yang disebutkan awal tadi, Islam tidak menentang remaja berseronok dan berhibur. Inginkan keseronokan dan hiburan adalah suatu fitrah. Naluri manusia sangat suka kepada hal-hal yang menyeronokkan dan menghiburkan. Tetapi Islam memberikan kita batasan dan pedoman. Tanpa batasan dan pedoman kita akan kehilangan arah dan cenderung sesat jalan.Yang dipandu dan dipedomankan oleh agama kita ialah berseronok dan berhibur yang menibulkan keinsafan dan perasaan diri yang dekat dengan Allah, sukakan kebaikan, bencikan kemungkaran, merasa ada peranan dan tanggungjawab dalam hidup, dan tidak terlepas daripada kawalan diri yang sifatnya nafsu-nafsi dan akhirnya ada rasa kepuasaan yang amat tinggi bahawa keseronokan dan hiburan dihayati kerana Allah dan berhikmah untuk diri dan kehidupan.

Menikmati

Maksudnya ialah waktu berhibur kita merasakan diri kita sebagai hamba menikmati kurnia Allah yang maha indah melalui bait-bait atau senikata yang diungkapkan, alunan muzik yang tidak merangsang kealpaan dan boleh menyebabkan kita lalai dan hilang pertimbangan serta sentiasa menikmati suatu kepuasan tentang kebesaran Allah yang menjadikan alam dan kehidupan manusia penuh dengan rahmat dan nikmat.

Sekiranya hal seperti ini ada pada remaja dan pada kita semua, jenis keseronokan yang kita cari dan hiburan yang kita dapati sentiasa memandu kita hampir dengan Allah, merasa rindu kepada Allah, selalu sayangkan diri dan potensi yang Allah telah kurniakan dan membangunkan potensi itu dengan baik supaya kebaikan itu menjadi fahaman kita, bukannya hedonistik atau berseronok-seronok yang menyebabkan kita lalai dan alpa, lupa diri dan lupa segalanya sehingga akhirnya remaja boleh terjerumus ke lembah maksiat dan kerosakan yang sukar untuk dipulihkan semula.

Oleh itu bakat untuk berseronok harus digunakan secara fitrah. Maksud fitrah di sini ialah menggunakan pada tempatnya yang sesuai, ikut pedoman syarak dan jangan melampaui batas. Kalaulah keseronokan itu adalah kerana kelazatan, kelazatan adalah sementara dan ia tidak bersifat lama.Sekiranya kelazatan dirasai dalam bentuk syarak ia menjadi ibadah. Sekiranya kelazatan berlaku di luar batas syarak ia menjadi dosa dan mendatangkan musibah. Kelazatan boleh menimbulkan ketagihan. Mengambil rokok dan dadah umpamanya ada kelazatan sementara. Orang merasa khayal dan gian. Khayal dan gian menyebabkan orang lupa. Lupa boleh menyebabkan orang melakukan apa saja.

Kuda Liar

Remaja juga mempunyai lonjakan nafsu yang tinggi. Nafsu remaja ibarat kuda liar. Kuda liar, apabila ditunggangi, ia gopoh dan boleh menunggangi manusia semula. Kuda liar perlukan tali kekang untuk dijinakkan. Dengan tali kekang ia melatih kuda liar supaya patuh dan ikut pedoman penunggang. Lama kelamaan apabila latihan itu berterusan, nafsu semakin jinak dan akhirnya remaja bakal memandu nafsu dalam melakukan sesuatu tetapi bukan dipacu oleh nafsu dalam menghajatkan sesuatu.

Tali kekang kepada kuda liar itu ialah latihan rohaniah. Apabila remaja dekat kepada Allah, remaja mempunyai pancang dalam diri. Pancang diri ini penting supaya remaja tidak hilang pedoman. Dalam bersuka-suka, remaja ingat kepada Allah, patuh kepada batasan syarak. Dalam berhibur, remaja ingat halal dan haram sesuatu, ia menjadikan remaja berhibur kerana kebaikan.

Dalam bersukan remaja patuh batasan aurat, batas gaul dan batas waktu. Dalam menonton, remaja menonton hal-hal yang bermanfaat yang boleh mengiburkan. Dalam melancong, remaja menikmati dan menghargai keindahan alam dan kejadian bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam membaca remaja membaca bahan-bahan yang meningkatkan mutu berfikir, mendatangkan idea-idea baru dan akhirnya menambahkan ilmu dan pengetahuan.

Sekiranya asas ini dapat disuburkan dalam diri remaja, hiburan tidak sampai kepada darjah berpoya-poya tetapi hiburan atau kesukaan membawa faedah kepada remaja supaya dewasanya remaja melalui proses-proses matang dan berkualiti dan kekuatan ini bakal menyumbang kepada diri remaja dan juga kepada masyarakat dan negara nantinya.

Renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabat yang budiman..

- PROF DR. SIDEK BABA, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009