Mutiara Hidup Pejuang

Friday, October 29, 2010

Bencana Alam: Bala Atau Hikmah?





Sejak akhir- akhir ini, bencana alam sering berlaku di dunia ini termasuk yang menimpa di negara kita Malaysia. Bencana alam merupakan sebahagian daripada sunnah alam atau sunnah Allah yang menciptakannya. Ia dijadikan sebagai pengimbang kepada kehidupan dan kemusnahan. Hakikat ini diiyakan oleh teori kehidupan dan kemusnahan. Jika dilihat dari segi luarannya, ramai yang beranggapan tragedi Tsunami, tanah runtuh, gempa bumi, hujan salji dan taufan merupakan malapetaka yang tidak lain dan tidak bukan hanya mengundang kemusnahan, kerugian dan kehilangan nyawa. Namun sebagai seorang mukmin yang dianugerahkan akal, kita harus menganalisisnya secara logik dan rasional berlunaskan ajaran Islam dan berpaksikan keimanan kepada Allah.

Persoalan yang sering dilontarkan ialah mengapakah Allah seringkali menimpakan musibah kepada orang Islam? Jika dalam konteks Tsunami di Acheh, sebuah wilayah serambi Mekah, atau gempa bumi di Pakistan dan Kashmir, apakah kerana dosa umat Islam, atau kenapa? Apakah mesej yang disampaikan oleh Allah? Apakah penduduk di negara Islam lebih berdosa daripada tempat lain atau adakah ini kejadian rambang? Hanya Allah yang Maha Mengetahui hikmah sebenar di sebalik malapetaka tersebut.

Fenomena alam yang telah terjadi boleh ditafsirkan dengan pentafsiran yang banyak. Antaranya ialah merupakan fenomena biasa yang Allah timpakan kepada umat manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam yang merupakan kemahuan mutlak Allah. Dalam konteks ini, kita harus melihat bencana alam sebagai satu kekuasaan dan keagungan Allah yang hampir sama dengan konsep hidup dan mati. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai cara Allah menakutkan hambaNya yang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Tidak hairanlah jika malapetaka yang berlaku juga melanda negara yang bukan Islam. Sebagai orang Islam, kita menganggap ia sebagai musibah yang menguji tahap keimanan kita dan sejauh mana kita sabar menghadapi bencana seumpama itu.

Umat Islam hari ini, rata- rata berada dalam gelombang kelalaian yang melampaui, maka dengan cara menurunkan bencana ini, Allah akan menghidupkan kembali perasaan takut kepada Allah dan menjalinkan ukhuwah sesama Islam. Justeru, kita dapati bagaimana datangnya derma dan sumbangan yang melimpah ruah dari segenap lapisan masyarakat seantero dunia. Malapetaka yang melanda juga kita boleh tafsirkan sebagai sebab dan akibat daripada perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh orang Islam mahupun bukan Islam. Seperti yang telah dinyatakan dalam Al Quran:

Dan (Tuhan berfirman lagi); Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


(Surah Al-A'raaf 7: 96)

Limpahan nikmat yang dicurahkan oleh Allah terhadap hambaNya tidak terhitung banyaknya. Begitu juga dengan bencana yang berlaku bukanlah kebencian Allah semata- mata bahkan sebaliknya mengandungi rahsia dan rahmat yang tersembunyi. Kitalah yang sepatutnya bersangka baik terhadap Allah dan akur mengiktiraf kuasa Qada dan takdir Ilahi. Mengingkari hakikat ini hanyalah akan membuah penderitaan jiwa yang tidak berkesudahan. Oleh itu, celikkanlah mata hati untuk kita membongkar sebab musabab yang mencetuskan bencana tersebut.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa malapetaka yang melanda adalah satu kemusnahan harta dan jiwa. Apapun, itu semua adalah milik Allah. Menyorot kembali setiap bencana yang berlaku, natijahnya banyak mayat yang bergelimpangan, bangunan dan binaan semua disapu bersih tanpa belas kasihan seolah-olah menjadi padang jarak padang tekukur. Hanya dengan taufan beberapa jam telah dapat menukarkan kebanggaan manusia menjadi zaman batu. Keagungan dan kecanggihan teknologi Amerika Syarikat hanyalah propaganda semata- mata kerana kuasa Allah mengatasi segalanya. Ramai yang kagum dengan negara tersebut tetapi bencana taufan yang melanda baru-baru ini membuka pekung Amerika Syarikat yang tidak mampu bertindak dengan lebih cepat menangani hal tersebut. Bala sebenarnya melalui Katrina, Rita atau Ophelia kepada Amerika Syarikat ialah bukan hanya kematian dan kemusnahan tetapi terbongkar rahsia kelemahan teknologi dan pengurusan mereka. Walau setinggi manapun kecanggihan sains dan teknologi, ilmu manusia yang ibarat hanya setitis berbanding dengan lautan tidak mampu menandingi kuasa yang Maha Hebat. Oleh itu, pengajarannya ialah bukan kita meninggalkan sains dan teknologi kerana ia membawa kita menerokai ilmu Allah tetapi janganlah kita terlalu taksub dengan kecanggihan sains teknologi sehingga kita melupakan terdapat Zat yang Maha Agung.

Kita sebagai umat Islam mesti mempercayai akan tibanya Hari Kiamat yang membawa kepada kehancuran. Bencana alam yang sering berlaku juga menandakan bahawa dunia ini telah pun lanjut usia dan berada di ambang kemusnahan. Dengan sekelip mata, siapa sangka bandar yang maju dan tersusun musnah seperti tanda "Armageddon" telah bermula. Inilah kekuasaan Allah yang kita sendiri pun tidak tahu bilakah datangnya Kiamat. Yang pasti ia akan berlaku.

Biar apa pun tafsiran di sebalik bencana alam, namun dalam Islam ia adalah nyata sebagai satu bala yang menimpa manusia sebagai ujian terhadap tahap keimanan dan kesabaran atau sebagai kifarat dosa yang mengangkat darjat para Mukmin. Namun, yang paling utama, hikmahnya ialah bahawa ia adalah amaran Allah tentang bagaimana kejahatan manusia sudah mencecah tahap kemuncaknya. Kemarahan ini dihamburkan oleh Allah menerusi bencana alam yang menimpa alam ini. Segala tafsiran saintifik berhubung kejadian ini tidaklah bertentangan kerana Allah telah pun menyediakan fenomena alam sesuai dengan kehendakNya. Sebagai umat Islam, wajib kita muhasabah addin untuk kembali kepada Allah dengan azam dan tekad yang lebih kuat. Itulah satu-satunya jalan penyelamat daripada kemurkaan.

Wednesday, October 27, 2010

::Kisah Luqman al Hakim dengan telatah manusia::





Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki." Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu." Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai." Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t. sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Tuesday, October 26, 2010

::Dosa akan datang dalam 4 peringkat::





Dosa Peringkat Pertama..
Seseorang membuat dosa serta lambat menyesali perbuatannya atau pun lambat bertaubat atas dosanya.... Ini adalah peringkat awal bagi orang yang membuat dosa.. Jika seseorang itu berterusan membuat dosa pada peringkat pertama ini, maka ia akan secara automatik akan naik kedosa peringkat kedua..

Dosa Peringkat Kedua... Seseorang itu akan membuat dosa dan tidak merasai apa-apa diatas perbuatannya... Peringkat ini amat bahaya kerana ianya adalah bibit bibit permulaan yang boleh menggugurkan iman seseorang..

Dosa Peringkat Ketiga.. Seseorang itu membuat dosa dan merasa bangga dengan perbuatan dosanya.... Peringkat ini akan sampai kepada suatu situasi dimana orang yang membuat dosa mula merasa sombong, bongkak dan riak Ucapannya juga akan membawa kepada unsur MURTAD.. Contohnya ucapan, "Aku minum arak ni biasa ajee..setakat sebotol tak mabuk lagi. "Selepas peringkat ini seseorang itu akan sampai ke peringkat keempat..

Dosa Peringkat Keempat.. Seseorang itu akan membuat dosa, bangga dengan perbuatannya dan mula MEMANDANG HINA ATAS KEBAIKAN ATAU KEBAJIKAN... Pada peringkat ini orang tersebut mula mencabar Al-Quran, Hadis & Sunnah kerana sifat sombong,bongkak dan riak sudah sepenuhnya menguasai diri.. Oleh itu hendaklah kita sentiasa berkira-kira tentang perbuatan kita setiap hari dan cepat cepat bertaubat atas kesilapan atau perbuatan kita yang berdosa dan masuklah kita di kalangan orang orang yang bertaqwa disisi Allah.. Seseorang sahabat pernah bertanya kepada Rasullullah, "Wahai Rasulullah akan adakah orang yang menyeru kearah kejahatan dan dosa setelah datangnya islam yang lengkap ini." Rasullullah menjawab," Ia, memang akan ada pendakwah neraka di akhir zaman setelah datang islam yang lengkap." Sahabat bertanya,"Wahai Rasulullah apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku bertemu zaman itu dan pendakwah neraka tersebut. "Rasulullah menjawab, "Hendaklah kamu cari ulama ulama benar (ulama pewaris nabi) dan berpeganglah kamu kepadanya dan jangan sekali kali kamu lepas darinya."

Saturday, October 23, 2010

10 Bakti Seorang Anak Terhadap Ibu Bapanya




Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

1. Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2. Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).

4. Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu bapa sendiri.

Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

5. Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.

Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??

Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

6. Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.

7. Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9. Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup..Moga kita semua menjadi anak yang soleh dan taat kepada ibu dan bapa kita...)

Tuesday, October 19, 2010

PERANAN GURU SEBAGAI MU'ALLIM, MU'ADDIB, MURABBI, MURSYID DAN MUDARRIS





Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gur' dan `Ru'. Dalam bahasa jawa, Gu diambil daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya, amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.

Guru yang berwawasan bertindak sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid, muddaris dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas.

Mu’allim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal.Sebagai guru yang bersifat mu’allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap mu’allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Muddaris adalah pengajar yang selari dengan perkataan guru. Peranan guru adalah untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan faham. Sikap peribadi dan penampilan diri memerlukan kemahiran untuk dikuasai oleh murid-murid.

Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Mu’addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah mentor. Mu’addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib adalah menyiapkan mu’addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka pada masa hadapan. Guru mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Mu’addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.
Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian.

Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.

Hai hambaku! Aku tiada meminta harta benda kepada kamu (sebagai upah) bagi
seruanku. Upahku hanyalah dad Allah ... (Maksud Al-Qur' an 11 :29)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang
yang beriman (Maksud Al-Qur'an 42:215)

Berdasarkan dua ayat Al-Qur' an di atas, ikhlas adalah sifat yang paling utama bagi seorang mursyid. Ini bermakna, guru yang mursyid ialah guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas.

Itulah sebenarnya peranan guru.. Hakikatnya guru sememangnya dipandang tinggi dan merupakan suatu pekerjaan yang murni dan mulia. Janganlah ada di antara guru-guru yang hanya mementingkan pangkat dan gaji semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab membentuk manusia menjadi insan yang terpuji sifat dan peribadinya..

Sunday, October 17, 2010

"Pesanan Imam Syafie"






"Cintailah orang soleh, kerana mereka memiliki kesolehannya, cintailah Nabi MuhaAmmad s.a.w., kerana dia kekasih Allah SWT dan cintailah Allah SWT, kerana dia kecintaan Nabi dan orang soleh."

(Imam Syafie)

Biarkan hari-hari itu melakukan apa saja,
Bertenanglah bila qada menjatuhkan hukuman,
Jangan tersentak dengan peristiwa duka malam hari,
Peristiwa di dunia ini sebenarnya tidak lama.

(Syair Imam Syafie)

Aku akan menjelajah ke segenap pelusuk negeri
Aku tidak menghiraukan samada cita-citaku
tercapai atau aku mati keseorangan
Jika ku binasa atau mati maka segala-galanya
terserah kepada Allah
Dan jika ku terselamat tidak lama aku akan kembali

(Syair Imam Syafie)

Thursday, October 14, 2010

7 Pesanan Penting Rasulullah SAW Kepada Abu Zar





Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata: ” Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad s.a.w. tujuh macam yang tidak sampai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu:
-Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka.
-Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang dibawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang di atasku.
-Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meski pun mereka jauh dan dekat, jangan memutuskan hubungan dengan mereka.
-Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau khazanah segala kebaikan.
-Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia, tetapi mohonlah kepada Allah SWT.
-Saya dipesan supaya jangan takut di dalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek.
-Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat.


petikan:

 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009