Mutiara Hidup Pejuang

Saturday, November 13, 2010

Erti Sebuah Pengorbanan





NABI Ismail a.s membaringkan diri di bawah kilauan tajam mata pisau yang tergenggam erat di tangan ayahnya yang berusia lebih 85 tahun. Sebuah kepasrahan yang agung dan pengorbanan suci atas nama kepatuhan terhadap yang Maha Esa.

Sang ayah, Nabi Ibrahim a.s dengan penuh kerelaan akan menyembelih anak tunggalnya yang telah pun memejam mata. Bersedia. PerintahNya sebuah kepatuhan yang mesti dipenuhi.

Namun, bukan bererti Ibrahim tidak menyayangi Ismail. Putera tersebut adalah segala-galanya ketika usia telah terlalu tua untuk memperoleh zuriat.

Bagaimanapun, ketabahan dan pengorbanan tulus dan ikhlas Ibrahim itu cuma merupakan sebuah ujian. Tempat Ismail diganti oleh Allah dengan seekor kambing biri-biri.

Peristiwa tersebut merupakan titik tolak kepada ibadah korban dalam Islam yang terus difahami sebagai proses menyelami makna kepatuhan suci Ibrahim terhadap perintahNya.

Kaum Semit secara jelas mencatatkan peristiwa dan ritual tersebut sebagai pengorbanan Abraham (Ibrahim a.s) yang rela menyembelih anaknya, Isaac atas perintah Tuhan.

Namun, ada versi lain dalam yang termuat dalam kitab Taurat yang turut diterima oleh penganut Kristian dan tercatat dalam Perjanjian Lama. Justeru yang dikorbankan bukan Ismail a.s sebaliknya Nabi Ishak a.s, seorang lagi putera Ibrahim.

Islam pula menerima pendapat bahawa anak Ibrahim a.s yang dikorbankan ialah Ismail walaupun tidak ada ayat al-Quran yang menyebut nama Ismail secara jelas dalam ritual pengorbanan tersebut.

Al-Quran menyebutkan kisah tersebut dalam surah Asy-Syafaat 37:101-112, tanpa menerangkan nama anak Ibrahim a.s yang hampir disembelih tersebut. Kitab suci itu hanya menyebut istilah ‘anak yang berbudi bahasa’.

Sesungguhnya apa yang tersurat dan tersirat daripada makna kurban tersebut? Sedar atau tidak, korban ketika menyambut Aidil Adha meletakkan kita dalam sebuah wacana hermeneutik.

Dalam terminologi fenomenologi, hermeneutik merupakan medium yang menghubungkan antara kesedaran manusia dengan objeknya (teks dan fenomena).

Kesedaran manusia dan proses interpretasi teks hanya dipisahkan oleh segaris cahaya. Terlalu dekat. Setiap penafsiran harus mengandungi kesedaran memahami sejarah untuk menemukan kebenaran teks.

Proses penafsiran juga perlu mempunyai kesedaran untuk memahami objek berdasarkan proses sejarah bagi menemukan makna terdalam dan tujuan teks.

Berdasarkan pandangan hermeneutik, ibadah korban tidak seharusnya difahami sebagai sebuah makna daripada ajaran-ajaran Islam. Ini kerana ritual tersebut lebih didasari oleh tujuan kepuasan psikologis orang yang berkorban (al-Qarib).

Dalam erti kata lain, korban hanya difahami dalam perspektif yang sempit oleh segelintir masyarakat kita. Haiwan sembelihan itu dianggap akan datang di akhirat untuk membawa mereka memasuki syurga.

Dalam erti kata lain, fungsi korban seolah-olah difahami sebagai `menyediakan’ binatang yang akan ditunggang untuk membawa semua pemilik yang menyembelihnya di dunia ke syurga dengan lebih mudah.

Mengikut peraturan yang ditetapkan Islam, binatang yang akan disembelih itu perlu memenuhi syarat, disembelih pada waktu tertentu dan dagingnya harus diagih-agihkan kepada kelompok tertentu pula.

Padahal makna korban dalam konteks Islam cukup luas. Pengertian substantif yang dapat diperoleh daripada pemahaman itu adalah mengorbankan sesuatu yang paling disayangi.

Dalam konteks masyarakat Arab tradisional, kambing dan unta merupakan harta yang sangat berharga dan disayangi. Selepas peristiwa pengorbanan Ibrahim dan Ismail tersebut, penyembelihan haiwan ternakan diteruskan.

Ritual korban kambing biri-biri yang menggantikan Ismail tersebut akhirnya diwarisi di kalangan masyarakat Islam hingga ke hari ini sebagai lambang pengorbanan sesuatu yang sangat berharga.

Ingat, berkorban tidak hanya dengan menyembelih haiwan-haiwan ternakan semata-mata, tetapi juga dengan cara membantu mereka yang menjadi korban sosial-ekonomi-politik.

Ini kerana kalau Dia mengkehendaki pengorbanan tersebut berupa binatang peliharaan (yang cukup syaratnya) — seperti yang dilakukan oleh umat Islam kini, Allah tidak mungkin memerintahkan Ismail untuk dikorbankan dalam mimpi Ibrahim.

Kambing biri-biri yang besar dan sihat tersebut hanya dijadikan sebagai pengganti dan simbol, setelah kesetiaan dan cinta kasih Ibrahim terhadap Tuhannya teruji.

Tuesday, November 9, 2010

HAJI : KEMUNCAK IBADAH DAN KEMUNCAK HIKMAH





1. MUQADDIMAH

Ibadah haji yang menjadi rukun Islam itu merupakan kemuncak daripada keseluruhan ajaran Islam. Mereka yang dapat mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci bukan sahaja dapat mengerjakan kemuncak daripada ajaran Islam tetapi mereka juga berhadapan dengan kemuncak hikmah.

Asalkan sewaktu pergi itu jiwa mereka membawa bekalan-bekalan yang bersih, yang halal dan yang diredhai Allah SWT. Asalkan jiwa raga dan fikiran mereka dapat ditumpukan benar-benar di dalam ibadah haji dan dapat memikirkan kebesaran Allah apabila mereka melihat alam sekeliling di sekitar Tanah Suci itu.

Jadi, mengerjakan haji bukan sahaja mengerjakan kemuncak ajaran Islam, tapi berhadapan dengan kemuncak hikmah. Kemuncak hikmah yang dimaksudkan ialah dapat mengingati, dapat merasai serta dapat menghayati peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ataupun yang sedang berlaku yang dialami oleh mereka yang mengerjakan haji.

Mereka yang menunaikan fardhu haji ke Tanah Suci juga dapat mengingati semula peristiwa-peristiwa orang-orang soleh yang telah lebih dahulu pergi daripada kita yang pernah menempa sejarah di Tanah Suci, iaitu sejarah para kekasih Allah, sejarah orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.


2. SEJARAH DAN HIKMAH DI SEBALIK IBADAH HAJI

Wukuf
Wukuf di Padang Arafah mengingatkan kita kisah pertemuan di antara Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.ha. yang suatu masa dulu telah terjadi di situ. Empat puluh tahun suami isteri itu dipisahkan oleh Allah SWT kerana kesilapan mereka ketika di dalam Syurga.

Kalaulah Allah tidak temukan mereka nescaya tidak lahirlah kita di dunia ini. Besarnya hikmah di sebalik peristiwa tersebut. Maka sejarah pertemuan mereka itu patut diingati dan disyukuri. Oleh kerana itu disuruh bermalam di Arafah.

Selain itu, pertemuan dan perhimpunan di Padang Arafah mengumpulkan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia, daripada bermacam-macam warna kulit. Ada yang datang dari Timur dan Barat dan ada yang datang dari Selatan dan Utara. Ada yang datang dengan kenderaan, ada yang datang melalui udara, ada yang datang secara berjalan kaki, ada yang datang dari jauh dan ada yang datang dari dekat.

Berhimpun di Padang Arafah itu pula dengan pakaian yang seragam berwarna putih. Seolah-olah kita terutama yang berada di sana, mengingati bayangan Mahsyar. Mahsyar merupakan tempat yang tidak dapat tidak kita mesti menuju ke sana.

Perhimpunan di Padang Mahsyar ini merupakan perhimpunan besar yang akan berlaku selepas manusia dimatikan. Di sana, kita tidak kenal lagi mana yang kaya dan mana yang miskin, tidak kenal lagi mana raja dan mana rakyat jelata, tidak kenal lagi mana yang berkuasa dan mana yang dikuasai, tidak kenal lagi mana alim dan mana yang jahil, dan tidak kenal lagi mana yang ada jawatan dan mana yang tidak mempunyai jawatan. Ertinya manakala berhadapan dengan Allah, manusia ini adalah sama belaka. Sama sahaja darjatnya, tidak ada lebih dan tidak ada kurang. Kecuali sepertimana yang Allah telah nyatakan kepada kita.

Firman Allah:
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa.

Perbezaan manusia di sisi Allah sama ada di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat adalah sifat taqwa ataupun amal solehnya. Pangkat tidak menjadi pembeza, cantik tidak menjadi pembeza, jawatan tidak menjadi pembeza, pandai, pintar, cerdik, alim tidak menjadi pembeza di antara manusia di sisi Allah. Perbezaan di antara manusia di sisi Allah ialah taqwa.

Mengapa kaya dengan miskin tidak dianggap perbezaan? Alim dan jahil tidak dianggap perbezaan, yang berkuasa dan yang tidak dikuasai tidak dianggap perbezaan, yang berkuasa dan yang dikuasai tidak dianggap perbezaan, yang cantik dan yang buruk tidak dianggap perbezaan antara manusia?

Ini kerana:
1. Manusia ini sama ada keturunannya, kejadiannya yang pertama mahupun kejadiannya yang kedua, adalah sama belaka. Tidak ada perbezaan di antara satu sama lain. Semua manusia ini, di semua peringkat dan darjatnya adalah berasal daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa dan semua manusia ini asalnya yang pertama adalah dari tanah. Tanah yang hina dan yang dipijak-pijak. Dan kejadian manusia yang kedua juga adalah sama, daripada air mani yang hina.

2. Dan keadaan manusia sama ada yang kaya, yang miskin, yang pandai, yang bodoh, yang cantik, yang hodoh, yang berkuasa mahupun yang dikuasai, kalaulah tidak makan, akan sama-sama berhadapan dengan kelaparan. Kalau sama-sama tidak minum, akan berhadapan dengan kehausan.

Kesimpulannya dalam erti kata yang lain, manusia ini merupakan sebuah keluarga besar sambung-bersambung daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa sehinggalah kepada kita ini dan akan disambung oleh zuriat kita selepas ini nanti. Justeru itu haji mengingatkan kita bahawa manusia itu sama sahaja di sisi Allah. Tidak mempunyai apa-apa perbezaan, yang membezakan hanya sifat taqwa.

Sa’i
Kisah ketaatan, ketabahan dan keimanan Siti Hajar, ketika suaminya Nabi Ibrahim a.s. meninggalkannya seorang diri bersama anak kecil mereka di padang pasir yang tandus, dia terima saja sambil berkata, “Moga-moga Allah tidak mensia-siakan saya.”

Oleh kerana panas terik maka air susunya kering. Anak kecilnya, Nabi Ismail a.s. menangis kehausan, sambil kakinya menepuk-nepuk pasir. Siti Hajar meninggalkan anaknya dan berlari-lari mencari air di tanah gersang itu.

Bila terkenangkan anaknya takut-takut terjadi sesuatu, maka dia berlari pula kepada anaknya. Bila dilihat anaknya selamat, dia berlari lagi pergi mencari air. Begitulah diulang-ulang, hinggalah akhirnya didapati air melimpah keluar di tempat anak kecilnya yang bermain dengan air yang terpancar itu.

“Zam, zam, zam, zam,” kata Siti Hajar sambil membenteng airnya dan kekallah air itu hingga hari ini, yang Allah keluarkan untuk Nabi Ismail demi memelihara baginda daripada mati kehausan.

Dan untuk mengenangi dan mengambil pelajaran dari seorang wanita solehah, taatkan suami dan kuat pergantungan pada Allah, yang sanggup ditinggalkan seorang diri di padang pasir yang kering-kontang, hingga terpaksa berlari ke sana berlari ke sini mencari air dalam keadaan letih, lapar dan takut serta bimbangkan anaknya, maka Allah perintahkan kita melakukan sa’i. Yakni berlari berulang alik seperti Siti Hajar di tempat berlakunya peristiwa itu. Moga jadilah hati kita seperti iman Siti Hajar, wanita agung yang mendapat penghormatan dari Allah melalui Al Quranul Karim.

Korban
Musim haji di Tanah Suci juga mengingatkan kita kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. yang sangat cinta dan redha dengan Tuhan. Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah SWT menyembelih anaknya Nabi Ismail. Sekalipun cintanya pada anaknya sangat mendalam, tapi bila Allah perintahkan disembelih anak itu, tanpa ragu-ragu Nabi Ibrahim memberitahu anaknya.

Nabi Ismail pula dengan tenang terus menjawab, “Kalau begitu kehendak Allah, maka lakukanlah.”

Taatnya anak kepada ayah hingga sanggup disembelih. Maka bermulalah penyembelihan itu tetapi tiba-tiba Allah yang pengasih itu mengirim seekor kibas sebagai ganti Nabi Ismail untuk disembelih. Sungguh cekal hati mereka menerima perintah Allah hingga diri dan anak jadi korban.
Maka untuk mengenangi dan mencontohi mereka inilah maka kita dituntut melakukan korban di Hari Raya Haji dan Hari Tasyrik.



3. HAJI KEMUNCAK IBADAH

Haji adalah kemuncak dari rukun Islam yang lima. Ia ibadah yang paling terasa bahawa kita adalah hamba, sebab haji adalah ibadah yang paling susah, paling meletihkan dan mencampuradukkan kita dengan jutaan manusia yang berbagai-bagai ragam dan perangai.

Siapa yang boleh menyempurnakan hajinya lahir batin hingga dapat haji yang mabrur, maka dia telah memperolehi rasa kehambaan yang tertinggi. Dan ini bukanlah mudah. Daripada 10,000 orang, agaknya hanya seorang yang boleh mencapainya. Iaitu seorang yang benar-benar menghambakan hati dan dirinya pada Allah SWT.

Untuk itu, proses penghambaan jiwa raga kepada Allah mestilah dilaksanakan secara sistematik, istiqamah dan sungguh-sungguh bermula dari mengucap dua kalimah syahadah. Yakni berikrar dan bersumpah hanya Allah sahaja yang disembah, dibesarkan, dipatuhi dan diterima peraturan-Nya. Sebab Allah itu Maha Kuasa, pencipta, pendtadbir, yang menghidupkan, mematikan, menurun, menaikkan, menghina dan memuliakan. Allah tempat berlindung dan tempat segala doa dipanjatkan.


4. SYARAT BATIN HAJI

Bila diperkatakan mengenai syarat-syarat haji, kebanyakan orang hanya menekankan syarat-syarat haji yang lahir. Selain daripada syarat lahir, sebenarnya ada syarat yang kedua iaitu syarat yang batin yang jarang diambil perhatian oleh orang.

Mungkin bagi orang yang tidak faham, perkara ini boleh menjadi fitnah, lebih-lebih lagi syarat batin ini tidak pernah disebut oleh mana-mana ulama atau ditulis dalam mana-mana kitab. Jadi eloklah diteliti dahulu kebenaran ini sebelum menolaknya mentah-mentah.

Kalau kita hanya menekankan syarat-syarat yang lahir misalnya bila cukup syarat wajib, kita pun pergi haji. Ada duit, duit yang tinggal cukup, sihat, aman dalam perjalanan, ada kenderaan dan lain-lain maka bolehlah pergi haji. Tapi mengapa tidak periksa:

Sejauh mana kita kenal Tuhan melalui syahadah?
Adakah solat kita sudah dihayati? Kalaupun tidak boleh dihayati, setidak-tidaknya faham tentang solat yang didirikan itu.
Bagaimana pula puasa kita? Apakah puasa kita selama ini sekadar tidak makan dan tidak minum? Sudahkah kita mendapat hikmah dari puasa itu?
Adakah kita faham apa itu zakat? Kalau zakat sekadar mengeluarkan duit, itu mudah, tapi roh dari zakat itu apa?

Kalau syarat lahir haji sudah cukup, sedangkan rukun Islam yang empat lagi itu tidak selesai, maka perlu ditubi yang empat itu dulu. Apa ertinya kita pergi haji apabila syarat lahir sudah selesai sedangkan syarat-syarat batin belum selesai.

Walaupun tidak salah kita pergi haji tapi apa gunanya kerana kita belum dapat isinya. Ini kerana ibadah itu bukan hanya soal luaran. Soal batiniah itulah yang lebih besar. Selama ini syarat batiniah jarang diperkatakan. Kalau ikut syarat lahir mungkin sesetengah orang sudah wajib pergi haji tapi kalau Tuhan pun tidak kenal, apakah akan diterima haji itu? Tentu tidak. Inilah hasilnya kalau hanya yang lahir selesai tapi yang dalam (batin) belum. Sebab itulah hari ini orang pergi haji banyak kali pun masih tidak boleh mengubah perangai.

Demikianlah apa yang berlaku hari ini. Kebanyakan orang yang pergi haji tidak faham tentang perlunya menyiapkan soal-soal batin ini. Bagi mereka, kalau sudah cukup syarat (lahir) atau ‘sudah sampai seru’, wajiblah pergi haji.

Orang yang pergi haji hanya berdasarkan cukup syarat lahir kalau hendak dibuat perbandingan, seolah-olah Tuhan jemput atas dasar lahir sahaja dan dia tidak dapat hakikatnya atau hikmah di sebalik haji itu. Maknanya Tuhan seru juga dia tapi untuk dimarahi di istana.

Ada dua golongan yang pergi haji iaitu:

i- golongan yang hendak dimarahi
ii- golongan yang hendak diberi pingat.

Biasa berlaku sultan memanggil seseorang untuk dimarahi. Tapi sesetengah orang menyangka dia dipanggil untuk diberi pingat, rupa-rupanya dia dipanggil untuk dimarahi.

Demikian juga, orang yang pergi haji, ada yang dipanggil untuk diberi pingat MUQARRABIN, SIDDIQIN dan MUTTAQIN. Ada yang dipanggil untuk ‘diberi’ pingat FASIQIN atau MUNAFIQI N.

Apa yang terjadi sekarang; oleh kerana kebanyakan manusia sudah tidak mengambil berat syarat batin haji ini; apabila golongan yang dipanggil untuk dimarahi itu berada bersama-sama orang yang dipanggil untuk dapat bintang, kadangkala terganggu dan tercacat juga orang yang dipanggil untuk dapat bintang itu.

Wednesday, November 3, 2010

::Adab-Adab Menuntut Ilmu::




1. IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :………Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL – Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :”Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?”. Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama’-ulama’ silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.


3. MENJAUHI MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH – Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.

5. BANYAKKAN ZIKRULLAH – Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

6. MENJAGA KEHORMATAN- Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke’aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “uf” dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : ” Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil”.

8. MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi’e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama’ silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI – Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama’ silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009