Mutiara Hidup Pejuang

Sunday, January 30, 2011

AWAN MENGIKUTI ORANG YANG BERTAUBAT





Diriwayatkan bahawa seorang tukang jagal terpesona kepada budak tetangganya. Suatu saat gadis itu mendapatkan tugas menyelesaikan urusan keluarganya di desa lain. Si tukang jagal lalu mengikutinya dari belakang sampai akhirnya berhasil menemukannya. Si tukang jagal lalu memanggil gadis itu dan mengajaknya menikmati kesempatan langka dan indah itu. Tetapi gadis itu menjawab, "Jangan lakukan. Meskipun sangat mencintaimu, aku sangat takut kepada Allah."

Mendengar jawapan itu, si tukang jagal merasa dunia berputar. Kerana menyesal dan sedar hatinya gementar, tenggoroknya kering dan hatinya semakin berdebar, dia lalu berkata, "Kau takut kepada Allah sedangkan aku tidak."

Dia pulang sambil bertaubat. Di jalan ia diserang haus dan nyaris mati. Is kemudian bertemu seorang soleh. Mereka berjalan bersama. Mereka melihat gumpalan awan berjalan menaungi mereka berdua sampai mereka masuk ke sebuah desa. Mereka berdua yakin bahawa awan itu untuk orang yang soleh. Kemudian mereka berpisah di desa tersebut. Awan itu ternyata condong dan terus menaungi si tukang jagal itu sampai dia tiba di rumahnya. Orang soleh tadi hairan melihat kenyataan ini. Dia lalu mengikuti tukang jagal tadi lantas bertanya kepadanya dan dijawabnya juga di tempat itu. Maka laki-laki soleh itu berkata, "Janganlah hairan terhadap apa yang kau lihat, kerana orang yang bertaubat kepada Allah itu berada di suatu tempat yang tak seorang pun berada di situ."

Saturday, January 29, 2011

Cinta sejati seorang ibu terhadap anaknya..




Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu.Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

Monday, January 24, 2011

AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI (Suatu pengalaman untuk dikongsi)





Pendahuluan

Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola, penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta agama.

Perancangan Awal

Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang tahun dan strategi masa hadapan.

Perancangan strategik perlu dimasukkan ’target’ atau pelunjuran yang hendak dicapai, biasanya ’target’ itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan, kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota tambahan, bahan-bahan ’power points’, CD, VD, dan bahan bantuan mengajar bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.

Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),

Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan, pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.

Siapa Guru Di Hati Murid

Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.
Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, ’komited’ dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.



Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.
Guru Dan Bilik Darjah

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.

Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta bersedia melakukan perubahan.

Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu.

Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati
’nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.

Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.



Pengajaran Dan Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.

Guru bertanyakan mereka, seperti ’apa khabar semua’, ’ada yang sakit atau yang tidak sihat’,’siapa yang ada apa-apa masalah,’ ’ustaz nampak semuanya seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar’. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, ’bagus’ supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai ’hand out’, dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui ’slide’ yang ditayang dengan bantuan ’LCD’ atau menggunakan teknik-teknik yang lain.

Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.

Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi ’kegilaan’ kepada mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya sebagai ’guru’ untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham kandungan tersebut.



Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan. Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan kehendak mereka.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.

Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan
mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.

Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma, Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.

Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf, Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.

Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei. Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk menarik minat mereka menyintai jawi.

Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.



Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas, pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan, gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap perlakuan dan pertuturan mereka.

Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,’saya yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini berjaya’. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.

Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran

Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik.

Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.

Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.

Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka melalui ’LCD’, supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih tidak berubah atau yang menurun.

Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan dalam diri mereka.






Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.

Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.

Penutup

Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan
kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan menyeluruh.

Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran.

Bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.



"Guru di awal gurulah di akhir"


Oleh : Hj.Samsudin bin Md Noor
Guru Cemerlang Pendidikan Islam


Sunday, January 16, 2011

Lelaki Ramai Masuk Neraka?




Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.

Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.

Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah ‘Ashabun Nar’ (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan ‘dayus’, peminum arak dan anak-anak derhaka.

Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.

Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

“Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sumber : Ust Zainuddin Hashim
HarakahDaily

Friday, January 14, 2011

Pengajaran Dari Kisah Perangkap Tikus




Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam, “hmmm… makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar agaknya?”

Ternyata, yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, “Ada perangkap tikus di rumah! Di rumah sekarang ada perangkap tikus!!”

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, “Ada perangkat tikus!” Sang Ayam berkata, ” Tuan Tikus, Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku.”

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, “aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku.”

Tikus lalu menemui lembu. Ia mendapat jawapan sama. “Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus?”

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang ular berkata, “Eleh engkau ni. Perangkap tikus yang sekecil itu takkanlah nak membahayakan aku.”

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuatkan ular itu semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke klinik berhampiran. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam.

Isterinya lalu minta dibuatkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapatkan kaki buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan, Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Begitulah kisahnya. Jadi pengajarannya, jika suatu hari, anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan anda pula mengira itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.

Wallahu a’lam.

Monday, January 10, 2011

Jangan sombong dengan kelebihan sementara..



Seorang Executive muda yang berjaya sedang memandu disebuah perkampungan di pinggir Bandar. Ia memandu agak laju dengan sebuah kereta WAJA yang berprestasi tinggi yang baru sahaja dibelinya. Sambil ia memandu perlahan-lahan ia sedang memerhatikan seorang anak kecil dicelah-celah kereta yang diletakkan ditepi jalan , ia memperlahankan keretanya untuk melihat sesuatu yang difikirkannya.

Seelok-elok sahaja kereta Waja tersebut melintasi kawasan tersebut ; anak kecil tidak kelihatan tetapi seketul batu dilontarkan tepat mengena pintu disebelah kanan kereta Waja tersebut.

Apalagi Executive muda tersebut menekan brek sekuat hatinya dan berundur ke tempat dimana Anak kecil tadi berdiri. Dengan marahnya dia keluar dari kereta terus meluru ke arah Anak kecil , menarik tangan anak kecil dan menghempasnya ke kereta yang terletak ditepi jalan dan terus memarahi Anak kecil tadi :

” Apa ni ? Siapa awak ? dan apa ke jadahnya awak berada disini ? Itu kereta baru , mahal dan susah nak baiki ? Awak tau tak ? Kenapa awak buat ini semua ? jerit Executive tersebut.

Anak kecil itu tunduk sedih , sayu dan memohon maaf ; ” Saya meminta maaf Pakcik, Saya tak tahu apa patut saya buat , ia merayu . Saya melontar batu kerana tak ada orang yang berhenti disini apabila saya panggil”.

Dengan linangan air mata ia menunjukkan ke satu sudut yang tidak jauh dari situ. “Itu abang saya , ia jatuh dari kerusi roda dari tebing disebelah dan tak ada orang yang dapat mengangkatnya kembali. Boleh tak Pakcik menolong saya , ia cedera dan ia terlalu berat untuk saya.

Dengan rasa terharu, Executive muda tersebut melepaskan anak kecil tersebut dan terus mengangkat abangnya dan meletakkannya kembali ke kerusi roda.

Terima kasih , pakcik, Saya doakan pakcik selamat dunia dan akhirat.

Tak dapat digambarkan dengan perkataan , Executive muda hanya melihat dengan sayu, Anak kecil tersebut menyorong abangnya yang cacat dan cedera pulang menuju ke rumahnya. Anak sekecil itu boleh mendoakannya akan kesejahteraan hidupnya.

Executive muda tersebut berjalan perlahan ke arah kereta , WAJA kemek teruk tetapi ia membiarkan saja tanpa dibaiki. Ia mengingatkannya bahawa kita tidak perlu berkejar-kejar dalam kehidupan ini sehinggakan seseorang melontar batu hanya kerana hendakkan perhatian .

Pengajaran :
Tuhan tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah, bersuka-ria tanpa kesedihan, panas tanpa hujan tetapi ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya. Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.

Semoga menjadi iktibar dan renungan kita bersama…

Wednesday, January 5, 2011

Musibah..Ujian Ketabahan dan Ketaqwaan Kepada Allah.




MUSIBAH ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain, musibah dikaitkan dengan sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang. Meskipun begitu, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kemudian Allah jelaskan mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya yang bermaksud:

“(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Dalam ayat itu Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana banjir, tanah runtuh, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan ditempuhinya.

Jelaslah orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.

Ibn Kathir (1992) ketika mentafsir ayat itu menjelaskan: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.”

Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antaranya yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud: “Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud), “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”

Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri.”

Ummu Salamah berkata: “Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda SAW: Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu.”

Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah atas kesabaran Ummu Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Selepas aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulani lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah.

Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Malaikat Maut, engkau mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah berfirman, Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”

Hadis kedua menjelaskan sikap Abu Sinan tetap memuji Allah walaupun anak kesayangan meninggal dunia. Jelaslah ujian Allah adalah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah bukan sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam pelbagai bentuk serta keadaan.

Sunday, January 2, 2011

Beza Niat Dan Azam



Satu ketika dahulu, ada dua adik beradik yang mempunyai dua perwatakan yang berbeza. Si abang ni seorang yang suka melakukan maksiat dan dia tinggal di bawah manakala yang adik ni seorang yang kuat melakukan ibadah dan tinggal di atas..

Suatu hari, si abang berasa bersalah dan ingin bertaubat manakala si adik ingin melakukan maksiat

dipendekkan cerita, si abang dan adik terlanggar antara satu sama lain dan mati dan tidak sempat melaksanakan hajat masing-masing.

Yang menariknya, disebabkan azam mereka ini, si abang mendapat husnul khatimah manakala si adik mendapat suul khatimah (na’uzubillah min zalik)

end of story

ketika sedang membincangkan kisah ini semasa usrah di sekolah dulu, saya merasa pelik kenapa si adik dikira berdosa dan mendapat suul khatimah sedangkan dia baru berniat hendak melakukan dosa, belum melakukannya lagi, kan baru berniat nak melakukan dosa tidak dikira berdosa lagi..

kisah abang itu saya tidaklah merasa pelik, kerana berniat untuk melakukan kebaikan sudah mendapat pahala.. begitulah maha pengasihnya Allah

……………………………………….

Rupa-rupanya ada beza antara niat dan azam…

niat adalah lintasan hati,

nak menggambarkan niat ini, masa kita solat, kita ada lafaz niat dalam hati “sahaja aku solat ….”yang kita biasa buat itu, ulama’ berpendapat itu masih lagi dikira lafaz, niat adalah lebih ringan dari itu lagi.. niat adalah lintasan hati, kita mengetahui apa yang kita buat dan kerana apa, itu sudah dikira niat….

dan niat ini, seperti yang kita ketahui, masih tidak dikira berdosa jikalau baru berniat untuk melakukan dosa tetapi sudah mendapat pahala jika baru berniat untuk membuat kebaikan….

jadi Azam ini lain pula ceritanya..kita sudah berniat nak buat maksiat, dan berazam dah nak buat…contohnya..

kita sudah berazam nak pergi ke kelab malam untuk bermaksiat, kita dah gerak dah naik keta (menunjukkan betapa berazamnya kita)..kemudian mati di tengah jalan..jadi kita sudah dikira berdosa walaupun masih tidak melakukannya, kerana kita memang berazam nak buat, tapi tak mampu, kalau mampu, kita mesti buat punya…

sekadar tazkirah buat diri dan semua

Waallahua’lam..


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009