Tuesday, June 21, 2011
3 JENIS HATI IBARAT 3 JENIS AIR
3 jenis hati yang ada dalam diri kita ibarat 3 jenis air.. Sediakan 3 gelas, satunya berisi AIR KOSONG. Satunya AIR TEH dan yang satu lagi dengan AIR KOPI YANG PEKAT.
Untuk AIR KOSONG, diumpamakan HATI YANG BERSIH..Masukkan gula yang diibaratkan sebagai dosa kecil. Adakah nampak gula itu jatuh? Ok, masukkan pula sudu ke dalamnya yang diibaratkan sebahgai dosa besar. Nampak jelas? Ya, kedua-duanya nampak jelas bukan?
Begitulah diibaratkan hati kita yang bersih sekiranya pernah melakukan perbuatan salah, hati kita akan merasa gelisah dan terasa yang dia sudah melakukan dosa. Jelas terasa di hatinya yang dia merasa bersalah. Itulah gambaran hati yang bersih. Mudah sensitif dengan gerak geri laku perbuatannya.
Untuk jenis hati yang KEDUA, AIR TEH itu diibaratkan sebagai HATI YANG SAKIT. Jika dimasukkan gula atau sudu, masih lagi nampak kelibat kedua objek itu namun ianya samar dan kelabu. Begitulah hati kita jika ianya sakit, tidak akan merasakan sensitif terhadap dosa dan kesalahan yang dilakukan. Kita masih sedar kita berbuat kesalahan tetapi menangguhkan taubat atau istighfar.
Dan untuk yang KETIGA ialah HATI YANG MATI, wal'iyazu billahi min zalik. Hati yang mati diumpamakan sebagai AIR KOPI YANG HITAM PEKAT dan segala objek yang masuk, kita sudah tidak nampak. Apa yang kelihatan ialah hitam sahaja. Itulah hati mati yang sudah berasa halal haram adalah sama dan tiada beza baginya.
Namun, jauh di sudut hati kita, ada sedetik rasa yang kita mahukan kebaikan dalam hidup. Untuk proses pencucian hati ini, sama-samalah kita mulakan dengan istighfar dan mengakui segala kesalahan kita kepada Allah.
Bertaubatlah, kerana sedetik kita mahu kembali ke pangkuan Allah, Allah akan sambut kita dengan kasih sayang-Nya, yakinlah dengan cinta Allah.
Banyakkan berzikir, membaca mathurat, bangun malam, membaca Al-Quran dan berazam untuk berubah. Didik hati kita supaya sentiasa beristighfar dan merendah hati. Diakui hati kadang-kadang sukar dikawal kemahuannya, tetapi selalu berdoa pada Allah agar kita ditetapkan iman. Amin.
Semoga hati kita dapat dibersihkan dan dicuci selalu sehingga mendapat hati yanhg bersih dan jagalah ia selalu.
"Anggunnya peribadi kita bermula dengan anggunnya hati kita."
Friday, June 10, 2011
EMPAT ISTERIKU...
ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
Tuesday, March 22, 2011
Kerana SAHABAT, Ahli Syurga Enggan Masuk Syurga..
Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah memerintahkan dua orang hamba hadir mengadapNya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya mati dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”.
Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa yang seorang lagi ke neraka dan Allah memerintahkannya disiksa dengan siksaan yang amat pedih. Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.
Orang yang taat kepada Allah sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu syurga maka dia mendengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”.
Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga, bawalah aku ke neraka”. Malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”.
Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga dan tak mahu juga layananmu”. Setelah itu kedengaran suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke syurga dan mengapakah kamu ingin ke neraka”?
Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”.
Saturday, February 19, 2011
Jangan Biar Hati di "Pateri"
Siapa tidak mahu menjadi orang beriman? Malah dalam situasi mencari jodoh, kita telah pun mengakui apa sebenarnya kehendak hati seorang manusia. Lelaki yang bergaya 'stylo' tetap mahukan calon isteri yang solehah seperti Nur dalam cerita Nur Kasih. Wanita yang berlagak ala Lady Gaga masih dambakan calon suami seperti Asyraf dalam Program Realiti Imam Muda.
Itu membuktikan, masih ada secebis cinta kepada agama jauh di lubuk hati. Tetapi, mengapa kehendak itu tidak membuka pintu hati kita untuk berusaha mendapatkan hidayah dari Allah? Sedang kita tahu, fitrah hati kita ini menginginkan kesejukan pandangan dan rohani yang damai dengan salju keimanan!
"Belum terbuka hati aku untuk berubah. Agaknya hidayah Allah belum sampai." Sebelum kita ucap sebaris kata-kata itu, cuba ambil beberapa saat untuk bertanya kepada diri. "Apa yang sudah aku usahakan untuk mencari sinar petunjuk dari Allah?". Jika kita hanya membiarkan kaki terus berjalan di atas landasan yang dicipta oleh syaitan, tidak mungkin kita dipilih Allah untuk mendapat hidayah. Hayati firman Allah SWT,
"Katakanlah (Wahai Muhammad SAW), Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara (ikhwan) kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamanya maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya). Kerana Allah SWT tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (at-Taubah : 24)
Menurut Pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam UiTM, Dr. Mohd Asmadi Yakob, antara punca-punca seseorang itu sukar mendapat hidayah adalah kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan. Manusia yang sentiasa menuruti kehendak nafsu dengan membelakangkan larangan dan suruhan Allah, hatinya sukar terbuka ke jalan kebaikan. Manakala, apabila dia menjadikan syaitan sebagai kawan, hatinya akan terus terpesong. Ini dapat dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam hari ini yang mengamalkan susuk, sihir dan pemujaan syaitan dalam kehidupan. Telah Allah sebut di dalam surah al-Haj ayat 4, "yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka."
Selain itu, manusia yang berlaku zalim juga sukar memperoleh hidayah. Ia terbahagi kepada dua iaitu berlaku zalim terhadap diri sendiri dan zalim terhadap manusia lain. Seorang lelaki yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, Allah akan 'memateri' hatinya! Hati menjadi keras, maka bagaimana sinar keimanan akan menyerap ke sanubarinya? Itu contoh zalim kepada diri sendiri. Manakala zalim terhadap manusia lain adalah dengan menganiaya orang tersebut. Doa orang yang teraniaya itu sesungguhnya amatlah mudah dimakbulkan Allah. Ini jelas menunjukkan Allah terlalu murka pada kezaliman.
Untuk memastikan diri tidak sukar diberi hidayah, jangan pernah biarkan hati menjadi keras. Ini boleh terjadi jika kita berkawan dengan rakan-rakan yang menghanyutkan kita dari mengingati Allah. Manusia yang melakukan maksiat dan dosa tetapi tidak bertaubat juga akan terus-terusan berada dalam keadaan yang sesat. Tanda hati telah menjadi keras juga apabila seseorang itu tidak suka mendengar perkara-perkara baik, majlis ilmu dan nasihat tentang keagamaan. Akhir sekali, apabila kita berperilaku melampaui batas-batas agama dan selalu berkata dusta, jangan dinanti hidayah mengunjungi segumpal darah di dalam tubuh! Beringatlah, apabila terdetik walaupun sebesar zarah kesedaran di dalam hati, segeralah mendekati Allah, mudah-mudahan hati dilimpahi hidayah yang berkekalan.