Mutiara Hidup Pejuang

Wednesday, December 29, 2010

Sifat malu kunci didikan rohani berakhlak mulia




SIFAT malu adalah salah satu sifat yang patut ada dalam diri setiap remaja Islam. Bagaimanapun, sifat malu ini mestilah bertempat kerana ada peribahasa Melayu mengatakan, “malu biarlah bertempat.”

Kita tidak mahu remaja terhalang mengejar kemajuan oleh sebab sifat malu yang terlalu tebal. Bagaimanapun, pada masa kini keseluruhannya remaja kita sudah tidak mempunyai sifat malu.

Sifat malu dapat diistilahkan sebagai berasa aib (hina, rendah) kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara dilarang Allah.

Manusia diciptakan Allah dengan sempurna, salah satu sifat yang patut ada dalam diri seseorang insan adalah malu terutama sekali berasa malu kepada Allah jika melakukan perbuatan terlarang.

Jika manusia mengetahui Allah memberikan pelbagai macam kenikmatan kepada manusia seperti kenikmatan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk merasa dan nikmat paling besar berupa iman kepada Allah.

Manusia harus malu jika mengerjakan kemaksiatan, manusia juga patut berasa malu jika lupa kepada nikmat yang diberikan kepadanya, perasaan malu ini harus dimiliki setiap manusia beriman.

Jika perasaan malu tidak ada dalam diri seseorang, maka itu suatu alamat kehancuran bagi manusia itu sendiri sebab hilangnya malu akan menarik pelbagai macam perbuatan maksiat dan kerosakan di muka bumi.

Bagi remaja, malu adalah kunci mencegah daripada segala yang merosak akhlak. Sifat itu dapat disemai seseorang apabila selalu bergaul dengan orang beriman, berilmu pengetahuan dan mempunyai budi pekerti luhur.

Orang yang memiliki rasa malu akan menyesal apabila melakukan perkara ditegah dan ia menunjukkan hati kecilnya hidup, batinnya suci dan bersih.

Tetapi sebaliknya, bagi orang yang sudah tidak memiliki rasa malu, dia berasa seronok apabila melakukan perbuatan tidak patut dilakukan sekalipun ramai orang mengetahuinya, bahkan sehingga melanggar kesopanan dan larangan agama.

Malu itu diwajibkan oleh Islam kerana malu termasuk sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi dari Ibnu Umar)

Islam mengingatkan umatnya supaya memerhatikan rasa malu kerana rasa malu termasuk sebahagian daripada iman, juga menjadi sebab terbentuknya akhlak mulia. Apabila hilang rasa malu akan rosaklah akhlaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu berperangai malu.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Tokoh Islam, Sulaiman Darani pernah berkata, “seseorang yang berbuat sesuatu perbuatan kerana didorong empat sebab; rasa takut, mengharap pahala, mengagungkan Allah dan rasa malu. Semulia-mulia mereka ialah orang yang berbuat kerana malu.”

Sikap ini bersumber kepada keyakinan bahawa Allah selalu melihat kepadanya pada setiap waktu dan keadaan, rasa malunya berbuat kebajikan lebih besar daripada malunya dalam berbuat kemaksiatan. Manusia yang bersifat seperti ini akan mendapat balasan daripada Allah.

Kita pernah mendengar peribahasa Melayu menyatakan, “Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan.” Sifat malu seperti ini tidaklah kita kehendaki dalam masyarakat kerana disebabkan terlalu pemalu sehingga menyusahkan diri sendiri.

Apa yang ditegaskan ialah sifat malu melakukan sesuatu bertentangan ajaran Islam. Sifat malu seperti ini amat dituntut dalam pendidikan rohani.

Rasulullah SAW adalah seorang yang terlalu baik perangainya, seorang paling mulia akhlaknya, tinggi ketaatan kepada perintah Allah dan segala tugas kewajipan kemasyarakatannya serta selalu menahan diri daripada segala larangan-Nya.

Diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri, ia berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW adalah lebih pemalu daripada gadis dalam pingitan. Dan apabila terjadi sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengenal daripada wajahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Malu sebenar-benarnya adalah ikatan yang tidak dapat dipisahkan dalam hidup beragama kerana antara iman dan malu itu suatu ikatan yang utuh dan tidak dapat dipisahkan antara satu dengan lain.

Kajian ahli psikologi menyatakan, sifat malu dapat membantu membaiki akhlak seseorang, sementara sifat pemalu yang tidak betul pada tempatnya boleh menjejaskan imej seseorang. Jika rasa malu hilang maka secara beransur-ansur sifat insannya menurun, sampai kepada darjat yang paling rendah.

Oleh itu, asuhan sejak kecil penting kepada anak supaya mereka memiliki sifat malu positif iaitu mengikut ajaran Islam. Tugas ibu bapa mendidik anak dengan menanamkan rasa dan sifat malu dalam diri mereka.

Sudah menjadi fitrah kejadian manusia itu sendiri, apabila manusia diberi akal sempurna hilang daripadanya sifat malu, maka ia akan menjadi ganas bahkan lebih ganas daripada haiwan tidak berakal.

Manusia yang hilang rasa malu akan berbuat semahunya tanpa mempedulikan adanya aturan dan kesopanan dalam masyarakat, menjadi liar, rakus dan kurang ajar. Tidak hairanlah jika kita mendengar gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, melakukan perbuatan maksiat, terbabit penagihan dadah, pil khayal yang mengancam remaja dewasa ini.

Sudah tentu perkara seumpama tidak akan berlaku jika remaja mempunyai sifat malu, berbudi bahasa, berakhlak mulia dan menjauhkan perbuatan keji ini.

Hanya iman yang kuat dalam diri remaja dapat menghindarkan segala perbuatan yang boleh merosakkan diri, bangsa dan negara. Ingatlah remaja hari ini adalah pelapis dan pemimpin negara pada masa depan.

INTI PATI
Sifat malu mengikut Islam

# Manusia harus malu jika mengerjakan kemaksiatan, manusia juga patut berasa malu jika lupa kepada nikmat yang diberikan kepadanya, perasaan malu ini harus dimiliki setiap manusia yang beriman.

# Jika perasaan malu tidak ada dalam diri seseorang, maka itu suatu alamat kehancuran bagi manusia itu sendiri sebab hilangnya malu akan menarik pelbagai macam perbuatan maksiat dan kerosakan di muka bumi.

# Bagi remaja, malu adalah kunci yang mencegah daripada segala yang merosak akhlak. Sifat itu dapat disemai seseorang apabila selalu bergaul dengan orang beriman, berilmu pengetahuan dan mempunyai budi pekerti yang luhur.

# Orang yang memiliki rasa malu akan menyesal apabila melakukan perkara ditegah dan ini menunjukkan hati kecilnya hidup, batinnya suci dan bersih.

# Malu itu diwajibkan oleh Islam kerana malu termasuk sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.

# Islam mengingatkan umatnya supaya memerhatikan rasa malu kerana rasa malu termasuk sebahagian daripada iman, juga menjadi sebab terbentuknya akhlak mulia. Apabila hilang rasa malu akan rosaklah akhlaknya.

Monday, December 27, 2010

4 Syarat Hidupkan Hati Dengan Al Quran




Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk. Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak. Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna.

Bukankah Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar).” (Surah al-Isra’, ayat 9).Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud: “Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?” (Surah Taha, ayat 1-4).Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:


Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh). Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat.” (Surah al-Isra’, ayat 78).

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?” (Surah Muhammad, ayat 24).Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan (’ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran. Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor.

Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain.

Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.“Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.“Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 20

(www.iluvislam.com)
 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009