Mutiara Hidup Pejuang

Saturday, November 8, 2008

Cinta dan Islam





Kebanyakan antara kita diajar sejak kecil lagi untuk menjaga diri supaya tidak terjebak dengan gejala sosial atau pergaulan bebas sesama bukan muhrim. Adat ketimuran dan didikan pemahaman Islam yang kukuh sejak kecil menjadi bekalan utama dalam mengharungi hidup yang kian mencabar dari semasa ke semasa; terutama di peringkat remaja. Remaja yang dapat bertahan sambil kuat berpegang dengan pemahaman tadi akan melepasi ujian ini dengan mudah, tetapi remaja yang mudah hanyut dibawa arus duniawi akan tenggelam ke dalam lembah yang hina.

Secara fitrahnya, manusia memang memerlukan pasangan berlainan jantina sebagai pelengkap perasaan cinta dan kestabilan emosi. Ini sudah terbukti sejak kita masih kecil lagi. Namun pada masa itu, perasaan malu dan ego masih belum menebal dalam diri manusia. Maka ‘cinta’ ketika itu hanyalah luahan secara luar sedar tetapi masih terbit dari perasaan fitrah manusia itu sendiri.

Apabila usia semakin meningkat, manusia akan mula mematangkan pemikiran melalui ilmu dan persekitaran yang dialaminya. Cinta kanak-kanak tadi mula bertukar rupa menjadi cinta yang lebih serius; cinta nafsu. Di peringkat usia ini, manusia baru mencapai akil baligh dan masih muda dalam membezakan haq dan batil terutama dalam bidang pemahaman terhadap Islam. Saya yakin tidak ada cinta di peringkat ini yang benar-benar suci dan bertujuan untuk berumahtangga.

Cinta dalam Islam sangat sinonim dengan cinta kepada Allah s.w.t. yang menjadi CINTA teragung dan terbesar berbanding cinta-cinta yang lain. Pemahaman masyarakat umumnya kepada istilah cinta sudah lari daripada maknanya yang asal. Oleh itu, apabila wujud sebuah percintaan dalam jemaah, ramai yang tersungkur dalam gerak kerja dakwah. Bukan salah cinta, tetapi pecinta yang menyalahgunakan cinta. Terlalu terikut-ikut dengan trend cinta masa kini hingga menyeleweng faham terhadap CINTA.

0 comments:


 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009