Mutiara Hidup Pejuang

Tuesday, October 19, 2010

PERANAN GURU SEBAGAI MU'ALLIM, MU'ADDIB, MURABBI, MURSYID DAN MUDARRIS





Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gur' dan `Ru'. Dalam bahasa jawa, Gu diambil daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya, amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.

Guru yang berwawasan bertindak sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid, muddaris dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas.

Mu’allim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal.Sebagai guru yang bersifat mu’allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap mu’allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Muddaris adalah pengajar yang selari dengan perkataan guru. Peranan guru adalah untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan faham. Sikap peribadi dan penampilan diri memerlukan kemahiran untuk dikuasai oleh murid-murid.

Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Mu’addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah mentor. Mu’addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib adalah menyiapkan mu’addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka pada masa hadapan. Guru mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Mu’addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.
Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian.

Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.

Hai hambaku! Aku tiada meminta harta benda kepada kamu (sebagai upah) bagi
seruanku. Upahku hanyalah dad Allah ... (Maksud Al-Qur' an 11 :29)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang
yang beriman (Maksud Al-Qur'an 42:215)

Berdasarkan dua ayat Al-Qur' an di atas, ikhlas adalah sifat yang paling utama bagi seorang mursyid. Ini bermakna, guru yang mursyid ialah guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas.

Itulah sebenarnya peranan guru.. Hakikatnya guru sememangnya dipandang tinggi dan merupakan suatu pekerjaan yang murni dan mulia. Janganlah ada di antara guru-guru yang hanya mementingkan pangkat dan gaji semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab membentuk manusia menjadi insan yang terpuji sifat dan peribadinya..

2 comments:

Wardah_ Mujahidah on October 19, 2010 at 10:07 PM said...

Ya Allah,mudah menjadi guru, tp bkn senang nk jd murabbi...kuatkan hati2 kami ya ALLAH..=)

MizZhaJar on November 24, 2011 at 5:39 AM said...

mohon ambil sedikit informasi...untuk tugasan saya.. moge perkongsian tuan ini mendapat rahmat ilahi..

 

Kalam Seorang Pendidik Free Blogspot Templates Designed by productive dreams for smashing magazine | | Free Wordpress Templates. Cell Numbers Phone Tracking, Lyrics Song Chords © 2009