1. MUQADDIMAH
Ibadah haji yang menjadi rukun Islam itu merupakan kemuncak daripada keseluruhan ajaran Islam. Mereka yang dapat mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci bukan sahaja dapat mengerjakan kemuncak daripada ajaran Islam tetapi mereka juga berhadapan dengan kemuncak hikmah.
Asalkan sewaktu pergi itu jiwa mereka membawa bekalan-bekalan yang bersih, yang halal dan yang diredhai Allah SWT. Asalkan jiwa raga dan fikiran mereka dapat ditumpukan benar-benar di dalam ibadah haji dan dapat memikirkan kebesaran Allah apabila mereka melihat alam sekeliling di sekitar Tanah Suci itu.
Jadi, mengerjakan haji bukan sahaja mengerjakan kemuncak ajaran Islam, tapi berhadapan dengan kemuncak hikmah. Kemuncak hikmah yang dimaksudkan ialah dapat mengingati, dapat merasai serta dapat menghayati peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ataupun yang sedang berlaku yang dialami oleh mereka yang mengerjakan haji.
Mereka yang menunaikan fardhu haji ke Tanah Suci juga dapat mengingati semula peristiwa-peristiwa orang-orang soleh yang telah lebih dahulu pergi daripada kita yang pernah menempa sejarah di Tanah Suci, iaitu sejarah para kekasih Allah, sejarah orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.
2. SEJARAH DAN HIKMAH DI SEBALIK IBADAH HAJI
Wukuf
Wukuf di Padang Arafah mengingatkan kita kisah pertemuan di antara Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.ha. yang suatu masa dulu telah terjadi di situ. Empat puluh tahun suami isteri itu dipisahkan oleh Allah SWT kerana kesilapan mereka ketika di dalam Syurga.
Kalaulah Allah tidak temukan mereka nescaya tidak lahirlah kita di dunia ini. Besarnya hikmah di sebalik peristiwa tersebut. Maka sejarah pertemuan mereka itu patut diingati dan disyukuri. Oleh kerana itu disuruh bermalam di Arafah.
Selain itu, pertemuan dan perhimpunan di Padang Arafah mengumpulkan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia, daripada bermacam-macam warna kulit. Ada yang datang dari Timur dan Barat dan ada yang datang dari Selatan dan Utara. Ada yang datang dengan kenderaan, ada yang datang melalui udara, ada yang datang secara berjalan kaki, ada yang datang dari jauh dan ada yang datang dari dekat.
Berhimpun di Padang Arafah itu pula dengan pakaian yang seragam berwarna putih. Seolah-olah kita terutama yang berada di sana, mengingati bayangan Mahsyar. Mahsyar merupakan tempat yang tidak dapat tidak kita mesti menuju ke sana.
Perhimpunan di Padang Mahsyar ini merupakan perhimpunan besar yang akan berlaku selepas manusia dimatikan. Di sana, kita tidak kenal lagi mana yang kaya dan mana yang miskin, tidak kenal lagi mana raja dan mana rakyat jelata, tidak kenal lagi mana yang berkuasa dan mana yang dikuasai, tidak kenal lagi mana alim dan mana yang jahil, dan tidak kenal lagi mana yang ada jawatan dan mana yang tidak mempunyai jawatan. Ertinya manakala berhadapan dengan Allah, manusia ini adalah sama belaka. Sama sahaja darjatnya, tidak ada lebih dan tidak ada kurang. Kecuali sepertimana yang Allah telah nyatakan kepada kita.
Firman Allah:
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa.
Perbezaan manusia di sisi Allah sama ada di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat adalah sifat taqwa ataupun amal solehnya. Pangkat tidak menjadi pembeza, cantik tidak menjadi pembeza, jawatan tidak menjadi pembeza, pandai, pintar, cerdik, alim tidak menjadi pembeza di antara manusia di sisi Allah. Perbezaan di antara manusia di sisi Allah ialah taqwa.
Mengapa kaya dengan miskin tidak dianggap perbezaan? Alim dan jahil tidak dianggap perbezaan, yang berkuasa dan yang tidak dikuasai tidak dianggap perbezaan, yang berkuasa dan yang dikuasai tidak dianggap perbezaan, yang cantik dan yang buruk tidak dianggap perbezaan antara manusia?
Ini kerana:
1. Manusia ini sama ada keturunannya, kejadiannya yang pertama mahupun kejadiannya yang kedua, adalah sama belaka. Tidak ada perbezaan di antara satu sama lain. Semua manusia ini, di semua peringkat dan darjatnya adalah berasal daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa dan semua manusia ini asalnya yang pertama adalah dari tanah. Tanah yang hina dan yang dipijak-pijak. Dan kejadian manusia yang kedua juga adalah sama, daripada air mani yang hina.
2. Dan keadaan manusia sama ada yang kaya, yang miskin, yang pandai, yang bodoh, yang cantik, yang hodoh, yang berkuasa mahupun yang dikuasai, kalaulah tidak makan, akan sama-sama berhadapan dengan kelaparan. Kalau sama-sama tidak minum, akan berhadapan dengan kehausan.
Kesimpulannya dalam erti kata yang lain, manusia ini merupakan sebuah keluarga besar sambung-bersambung daripada Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa sehinggalah kepada kita ini dan akan disambung oleh zuriat kita selepas ini nanti. Justeru itu haji mengingatkan kita bahawa manusia itu sama sahaja di sisi Allah. Tidak mempunyai apa-apa perbezaan, yang membezakan hanya sifat taqwa.
Sa’i
Kisah ketaatan, ketabahan dan keimanan Siti Hajar, ketika suaminya Nabi Ibrahim a.s. meninggalkannya seorang diri bersama anak kecil mereka di padang pasir yang tandus, dia terima saja sambil berkata, “Moga-moga Allah tidak mensia-siakan saya.”
Oleh kerana panas terik maka air susunya kering. Anak kecilnya, Nabi Ismail a.s. menangis kehausan, sambil kakinya menepuk-nepuk pasir. Siti Hajar meninggalkan anaknya dan berlari-lari mencari air di tanah gersang itu.
Bila terkenangkan anaknya takut-takut terjadi sesuatu, maka dia berlari pula kepada anaknya. Bila dilihat anaknya selamat, dia berlari lagi pergi mencari air. Begitulah diulang-ulang, hinggalah akhirnya didapati air melimpah keluar di tempat anak kecilnya yang bermain dengan air yang terpancar itu.
“Zam, zam, zam, zam,” kata Siti Hajar sambil membenteng airnya dan kekallah air itu hingga hari ini, yang Allah keluarkan untuk Nabi Ismail demi memelihara baginda daripada mati kehausan.
Dan untuk mengenangi dan mengambil pelajaran dari seorang wanita solehah, taatkan suami dan kuat pergantungan pada Allah, yang sanggup ditinggalkan seorang diri di padang pasir yang kering-kontang, hingga terpaksa berlari ke sana berlari ke sini mencari air dalam keadaan letih, lapar dan takut serta bimbangkan anaknya, maka Allah perintahkan kita melakukan sa’i. Yakni berlari berulang alik seperti Siti Hajar di tempat berlakunya peristiwa itu. Moga jadilah hati kita seperti iman Siti Hajar, wanita agung yang mendapat penghormatan dari Allah melalui Al Quranul Karim.
Korban
Musim haji di Tanah Suci juga mengingatkan kita kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. yang sangat cinta dan redha dengan Tuhan. Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah SWT menyembelih anaknya Nabi Ismail. Sekalipun cintanya pada anaknya sangat mendalam, tapi bila Allah perintahkan disembelih anak itu, tanpa ragu-ragu Nabi Ibrahim memberitahu anaknya.
Nabi Ismail pula dengan tenang terus menjawab, “Kalau begitu kehendak Allah, maka lakukanlah.”
Taatnya anak kepada ayah hingga sanggup disembelih. Maka bermulalah penyembelihan itu tetapi tiba-tiba Allah yang pengasih itu mengirim seekor kibas sebagai ganti Nabi Ismail untuk disembelih. Sungguh cekal hati mereka menerima perintah Allah hingga diri dan anak jadi korban.
Maka untuk mengenangi dan mencontohi mereka inilah maka kita dituntut melakukan korban di Hari Raya Haji dan Hari Tasyrik.
3. HAJI KEMUNCAK IBADAH
Haji adalah kemuncak dari rukun Islam yang lima. Ia ibadah yang paling terasa bahawa kita adalah hamba, sebab haji adalah ibadah yang paling susah, paling meletihkan dan mencampuradukkan kita dengan jutaan manusia yang berbagai-bagai ragam dan perangai.
Siapa yang boleh menyempurnakan hajinya lahir batin hingga dapat haji yang mabrur, maka dia telah memperolehi rasa kehambaan yang tertinggi. Dan ini bukanlah mudah. Daripada 10,000 orang, agaknya hanya seorang yang boleh mencapainya. Iaitu seorang yang benar-benar menghambakan hati dan dirinya pada Allah SWT.
Untuk itu, proses penghambaan jiwa raga kepada Allah mestilah dilaksanakan secara sistematik, istiqamah dan sungguh-sungguh bermula dari mengucap dua kalimah syahadah. Yakni berikrar dan bersumpah hanya Allah sahaja yang disembah, dibesarkan, dipatuhi dan diterima peraturan-Nya. Sebab Allah itu Maha Kuasa, pencipta, pendtadbir, yang menghidupkan, mematikan, menurun, menaikkan, menghina dan memuliakan. Allah tempat berlindung dan tempat segala doa dipanjatkan.
4. SYARAT BATIN HAJI
Bila diperkatakan mengenai syarat-syarat haji, kebanyakan orang hanya menekankan syarat-syarat haji yang lahir. Selain daripada syarat lahir, sebenarnya ada syarat yang kedua iaitu syarat yang batin yang jarang diambil perhatian oleh orang.
Mungkin bagi orang yang tidak faham, perkara ini boleh menjadi fitnah, lebih-lebih lagi syarat batin ini tidak pernah disebut oleh mana-mana ulama atau ditulis dalam mana-mana kitab. Jadi eloklah diteliti dahulu kebenaran ini sebelum menolaknya mentah-mentah.
Kalau kita hanya menekankan syarat-syarat yang lahir misalnya bila cukup syarat wajib, kita pun pergi haji. Ada duit, duit yang tinggal cukup, sihat, aman dalam perjalanan, ada kenderaan dan lain-lain maka bolehlah pergi haji. Tapi mengapa tidak periksa:
Sejauh mana kita kenal Tuhan melalui syahadah?
Adakah solat kita sudah dihayati? Kalaupun tidak boleh dihayati, setidak-tidaknya faham tentang solat yang didirikan itu.
Bagaimana pula puasa kita? Apakah puasa kita selama ini sekadar tidak makan dan tidak minum? Sudahkah kita mendapat hikmah dari puasa itu?
Adakah kita faham apa itu zakat? Kalau zakat sekadar mengeluarkan duit, itu mudah, tapi roh dari zakat itu apa?
Kalau syarat lahir haji sudah cukup, sedangkan rukun Islam yang empat lagi itu tidak selesai, maka perlu ditubi yang empat itu dulu. Apa ertinya kita pergi haji apabila syarat lahir sudah selesai sedangkan syarat-syarat batin belum selesai.
Walaupun tidak salah kita pergi haji tapi apa gunanya kerana kita belum dapat isinya. Ini kerana ibadah itu bukan hanya soal luaran. Soal batiniah itulah yang lebih besar. Selama ini syarat batiniah jarang diperkatakan. Kalau ikut syarat lahir mungkin sesetengah orang sudah wajib pergi haji tapi kalau Tuhan pun tidak kenal, apakah akan diterima haji itu? Tentu tidak. Inilah hasilnya kalau hanya yang lahir selesai tapi yang dalam (batin) belum. Sebab itulah hari ini orang pergi haji banyak kali pun masih tidak boleh mengubah perangai.
Demikianlah apa yang berlaku hari ini. Kebanyakan orang yang pergi haji tidak faham tentang perlunya menyiapkan soal-soal batin ini. Bagi mereka, kalau sudah cukup syarat (lahir) atau ‘sudah sampai seru’, wajiblah pergi haji.
Orang yang pergi haji hanya berdasarkan cukup syarat lahir kalau hendak dibuat perbandingan, seolah-olah Tuhan jemput atas dasar lahir sahaja dan dia tidak dapat hakikatnya atau hikmah di sebalik haji itu. Maknanya Tuhan seru juga dia tapi untuk dimarahi di istana.
Ada dua golongan yang pergi haji iaitu:
i- golongan yang hendak dimarahi
ii- golongan yang hendak diberi pingat.
Biasa berlaku sultan memanggil seseorang untuk dimarahi. Tapi sesetengah orang menyangka dia dipanggil untuk diberi pingat, rupa-rupanya dia dipanggil untuk dimarahi.
Demikian juga, orang yang pergi haji, ada yang dipanggil untuk diberi pingat MUQARRABIN, SIDDIQIN dan MUTTAQIN. Ada yang dipanggil untuk ‘diberi’ pingat FASIQIN atau MUNAFIQI N.
Apa yang terjadi sekarang; oleh kerana kebanyakan manusia sudah tidak mengambil berat syarat batin haji ini; apabila golongan yang dipanggil untuk dimarahi itu berada bersama-sama orang yang dipanggil untuk dapat bintang, kadangkala terganggu dan tercacat juga orang yang dipanggil untuk dapat bintang itu.
0 comments:
Post a Comment